Saturday, December 19, 2009

Hijrah Jadikan Pengajaran



1431 hijrah adalah suatu peralihan diantara tahun ini dan tahun lepas. Sedar tidak sedar, kita telah memasuki tahun yang baru. Lembaran baru. Azam baru. Namun sejauh manakah azam pada tahun lepas membentuk jiwa dan hati kita?


Setiap tahun, setiap bulan, setiap minggu, Setiap hari malah setiap jam dan setiap minit kita diuji. Jika hendakkan diukurkan dengan nisbah yang lebih kecil, setiap saat kita diuji. Bagi memberikan peluang untuk kita membuktikan keimanan kepada Allah. Sifirnya mudah, Sekiranya kita berjaya dengan ujian tersebut bertambah keimanan kita. Sekiranya tidak, sama ada iman kita kekal di tahap itu atau makin berkurang. Iman bertambah dengan ketaatan, dan iman berkurang dengan Kemaksiatan. Sekali jiwa diuji dan kita berjaya menempuhinya, bermakna kita melangkah untuk menempuhi ujian yang lebih berat. Maka Bersedialah!!

Diri ini menyesali setiap perkara yang dilakukan. Semuanya adalah kerana nawaitu diri. Permulaan kepada sesuatu amalan. Permulaan kepada sesuatu perbuatan. Permulaan yang akan menentukan pengakhiran. Setiap minit yang dianugerahkah seringkali disia-siakan. Setiap ujian yang diberikan, Seringkali di salah ertikan, seringkali disalahkan pada takdir. Sedangkan segala yang berlaku pasti ada hikmah dari-Nya.

Sesekali terasakan berat akan ujian yang dilalui, namun ianya hanyalah secebis ujian yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan ujian para anbiyak dan para sahabat. Seringkali diri ini mengeluh dengan ujian yang diberikan, jarang sekali diri ini bersyukur dengan nikmat, apatah lagi bersyukur dengan ujian kerana ujian itu secebis kepada bukti keimanan.

Ya Allah, aku bersimpuh dihadapan Mu meminta seribu keampunan atas sejuta kesalahan, aku memohon agar diberikan kekuatan bagi menempuh segala ujian, Aku memohon agar dipermudahkan segalah urusan Ya Allah, Jadikanlah tahun ini lebih baik dari tahun lepas, bulan ini lebih baik daripada bulan yang lepas, minggu ini lebih baik daripada minggu lepas, hari ini lebih baik daripada kelmarin. Ya Rabb..Aku memohon agar diberikan peluang untuk mencintaiMu. Sungguh aku merindui Mu… Maafkanlah aku. Ameen Ya Rabbal a’lamiin



Thursday, December 17, 2009

Apakah kita telah matang?



Terpanggil saya untuk mengulas mengenai matang kerana kala ini isu kematangan hangat diperkatakan dalam ‘media tidak rasmi’. Saya juga telah mengupas isu ini di dalam Laman Web Iluvislam.com berdasarkan pertanyaan forumer mengenai “Kenapakah remaja sekarang tidak matang”.

Sebelum saya memulakan, ada baiknya kita selidiki terlebih dahulu apakah yang dikatakan kematangan ini. Kematangan boleh diringkaskan sebagai seseorang yang mampu mengawal emosi dan perasaan di dalam diri mereka. Ini adalah view yang paling mudah untuk difahami. Ringkas dan padat

Jadi bagi meneruskan lagi perbincangan mengenai kematangan, sama-sama kita lihat bagaimanakah seseorang itu dianggap matang? Jika dilihat melalui view di atas, taksiran kematangan tidak sahaja spesifik kepada remaja sahaja, tetapi juga kepada semua peringkat umur. Kerana setiap daripada kita mempunyai emosi dan perasaan.


Apa yang membezakan diantara remaja dan dewasa hanyalah cabaran pada peringkat umur masing-masing dan pengalaman yang dilaluinya. Sebagai contoh, diperingkat remaja mungkin kita melalui zaman persekolahan, zaman percintaan dan sebagainya. Di peringkat dewasa pula kita melalui zaman pekerjaan, zaman perkahwinan dan sebagainya. Jika diambil kira kedua-dua zaman ini, sudah tentu dan seharusnya pengalaman juga berbeza. Jadi, dengan pengalaman yang berbeza inilah menjadikan kematangan kita berbeza dan sukar di ukur.

Melalui pengalaman, kematangan akan bertambah mengikut keadaan dan situasi. Tetapi perlu di ingat, bukan semua orang menjadi matang dengan pengalaman yang dilaluinya. Ianya hanya bagi sesiapa yang belajar dari pengalaman sahaja yang akan meningkatkan kematangannya.

Remaja dahulu dan sekarang, pengalaman mereka yang membezakan kematangan kedua-dua zaman ini. Remaja zaman dahulu lebih terdedah kepada situasi yang memerlukan mereka mematangkan diri. Sebagai contoh, mereka perlu menjaga adik-adik mereka ketika ibu dan bapa membanting tulang. Mereka perlu memerah keringat hanya untuk mendapatkan duit 10sen sebagai bekal ke sekolah. Mereka di asuh sekurang-kurangnya khatam al-quran sebagai bekal ilmu agama. Jadi dengan pengalaman-pengalaman inilah mereka lebih matang dalam menentukan jalan hidup mereka.

Remaja zaman sekarang pula, mereka lebih bebas untuk memilih jalan hidup sendiri. Saya tidak ingin sebutkan apa dan kenapa, cukuplah sekadar kita melihat apa yang berlaku sekarang. Dan disini juga saya tegaskan, bukan semua remaja sekarang yang mengamalkan cara hidup mereka sendiri, masih ada yang mengekalkan cara hidup 'remaja dahulu' didalam dunia sekarang. Saya mengagumi mereka. Cukup mengagumi!

Faktor keagamaan juga memainkan peranan yang penting. Agama adalah bersifat pendinding, remaja yang mendekatkan diri mereka kepada agama islam dengan sendirinya mereka mempunyai benteng pertahanan untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah. Semakin mereka ini mendalami ilmu agama, semakin menjadikan mereka lebih matang. Pernah anda melihat atau terbaca seorang kanak-kanak yang petah tuturnya dalam keagamaan dan isu semasa sedangkan beliau baru sahaja mencecah 5 tahun? Ataupun ulama' dahulu yang telah pun menjadi mufti walaupun baru sahaja mencecah umur belasan tahun? Tetapi sekadar menuntut tanpa mengamalkan apa yang dituntut itu tidak memadai, kerana islam berdiri diatas penghayatan ilmu itu sendiri, ilmu tanpa amalan, menjadikan kita kaku. Amalan tanpa ilmu menjadikan kita zalim. Ilmu dengan amalan akan menjadikan kita lebih menghayati islam itu sendiri. Jadi, apakah pilihan kita?

Selain itu, dengan diberikan tanggung jawab juga boleh menjadikan seseorang itu menjadi matang. Semakin berat sesuatu tanggung jawab yang dipikul, semakin menjadi matang seseorang itu. Dengan tanggung jawab, kita akan lebih terdedah untuk berfikir secara mendalam. Apabila fikiran sentiasa berfikir, secara automatik emosi yang berlebihan akan hilang dan seterusnya manjadikan minda kita lebih terbuka dan matang. Sekiranya emosi yang mengawal diri, secara jelas akan terzahir ketidakmatangan diri kita.

Ada yang mengatakan kapel di usia muda ini adalah matang. Bagi saya itu tidak sebenar-benar matang. Kematangan adalah dapat mengawal emosi dan perasaan. Cinta adalah perasaan. Untuk menjadi matang seseorang itu perlu tahu dimana letaknya diri mereka.

Sebagai contoh, mereka sekarang sedang belajar disekolah, diri mereka berada di alam persekolahan. Jadi kematangan mereka sepatutnya berada di tahap zaman persekolahan. Mungkin ada yang kata itu kematangan sebelum usia. Pada pendapat saya, kematangan sebelum usia ini adalah melibatkan soal penentuan identiti diri seseorang itu. Jika terlebih matang identiti dan personaliti akan berubah mengikut kematangan.

Sebagai contoh, seorang pelajar itu berumur 15 tahun tetapi tahap pemikiran dia pada umur 24 tahun. Jika diambil kira zaman sekarang, umur 24 tahun adalah umur yang sesuai untuk berkahwin. Adakah bagi mereka yang berumur 15 tahun ini sesuai untuk berkahwin dizaman sekarang? Sedangkan pada ketika itu tanggung jawab mereka pada pelajaran. Minda mereka sepatutnya sarat dengan ilmu dan pelajaran. Saya tidak maksudkan ini bagi mereka yang telah bersedia untuk berkahwin. Bagi mereka yang betul bersedia untuk berkahwin walaupun baru sahaja mencecah 15 tahun, Why not?

Di sini kematangan mengikut usia ini ditentukan berdasarkan 'where we are' bila persoalan dimana kita berada timbul, secara tidak langsung akan timbul persoalan 'What shall we do'. Apa yang perlu dilakukan pada ketika usia itu.

Perkara ini juga sama bagi mereka yang tidak matang mengikut usia, bila umur mencecah 29 tahun sebagai contohnya, tetapi emosi dan perasaan masih lagi berada dibawah daripada umur mereka, akan timbul identiti kebudak-budakan. Jadi penentuan kepada kematangan sebelum atau selepas usia adalah berdasarkan dimana kita berada dan apa yang patut kita buat sekarang. Kesimpulannya jadilah diri kita diusia kita. Simple...kan?

Pelbagai faktor yang akan menjadikan kita seorang yang matang. Dengan diri yang matang, kita akan lebih terpandu dan tidak dikawal oleh emosi dan perasaan yang membuta tuli. Untuk itu, jadilah matang di usia kita dalam meniti usia yang mencabar. Insyaallah saya akan mengupas kembali isu kematangan ini dari sudut ESQ dan kematangan mengikut agama islam. Wallahu a’lam

Safwan | MGCGroup.blogspot.com
KUDQI
2009

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di mgcgroup.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mgcgroup.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin MGCGROUP.BLOGSPOT.COM terlebih dahulu.

Monday, December 14, 2009

Kenangan Terlakar diwajahmu


Segala puji bagi Allah S.W.T diatas limpah dan rahmat-Nya selawat dan salam ke atas khatimul ambiya’ Nabi Muhammad S.A.W.

Pada Program kali ini terkenang saya satu ketika dahulu sewaktu diri ini mencecah awal remaja . Program yang membakar semangat diri ini, membakar sehingga kini. Nyalaannya masih terang dan menyuluh kehidupan saya sehingga kini. Masih segar di ingatan akan kata-kata fasilitator “ islam pasti…” kami menjawab “BOLEH!!”. Begitulah diri kami dibina seawal usia 12 tahun.

Kesannya masih dirasa sekarang dan dengan bertemakan lagu ‘Menuju Wawasan’dinyanyikan oleh kumpulan suara firdaus masih dirasakan sekarang walaupun lagu itu saya mendengarnya dahulu. Lagu yang menerapkan unsur motivasi ini sekali lagi lagi saya gunakan di dalam program kendalian saya pada hari ini.

Walaupun diri ini kepenatan dengan bebanan kerja yang bertimbun sebelum itu, namun program selama 1 hari setengah ini telah mengurangkan tekanan didalam diri ini. Masakan tidak, telinga ini masih kedengaran suara sahutan adik-adik “islam boleh! Boleh! Boleh!!” . “ Are you ok!?? Tanya saya, sekali lagi adik-adik membalas, “I’m alright!!”.

Bayangan dimata masih ternampak senyuman manis adik-adik ini. Cukup menenangkan hati apabila melihat gelagat mereka yang masih berfitrah suci ini. Apa yang diharapkan saya pada adik-adik ini hanyalah ilmu yang dicurahkan di amalkan dan dijadikan panduan.

Bila difikirkan kembali, mungkin ini yang diharapkan oleh abang-abang dan kakak-kakak fasilitator ketika mendidik dan membentuk saya dahulu. Inginkan perubahan pada adik-adik yang mereka didiki. Dengan program yang dibentuk, mereka mencurahkan masa, idea dan tenaga mereka demi membantu adik-adik ini untuk berubah dari yang baik menjadi yang terbaik!



Perubahan seseorang bertitik tolak kepada dirinya sendiri. Bermula daripada perubahan satu titik kepada titik yang lain, daripada satu langkah kepada langkah yang lain, daripada langkah kepada anjakan paradigma. Sehinggalah ianya mampu mengubah seluruh hidup seseorang itu. Apa yang menjadi faktor tiada perubahan pada diri kita adalah adanya ‘Dinding Penghalang’ didalam diri kita sendiri. Dinding yang dibina sendiri oleh kita. Yang dibina dengan kedegilan hati kita untuk berubah.


Apa yang perlu dilakukan adalah menetapkan matlamat untuk berubah dengan memulakan dengan niat. Bukan sekadar niat, tetapi niat yang disertakan dengan semangat untuk berubah. Ini adalah kekuatan sebenar pada diri kita. Saya tidak berniat untuk menghuraikan sepenuhnya, sedikit coretan ini sekadar luahan hati yang kerinduan.

Bila dikenang kembali, rasa ingin sekali diri ini untuk kembali kepada masa itu. Pada masa diri ini mula dibentuk dan mula mengenali erti sebenar sebuah kehidupan. Semoga Abang-abang dan kakak-kakak fasilitator saya pada ketika itu diberikan keberkatan dan rahmat oleh Allah. Semoga usaha kalian diberikan ganjaran yang sewajarnya oleh Allah.



Tidak saya lupakan kepada sahabat-sahabat saya yang banyak membantu dan dan memberikan kekuatan kepada saya dalam menjayakan Program Generasi Cemerlang. InsyaAllah nama-nama mereka tetap di hati dan sanubari ini. Jazakallahu Khairun Jazak.

Salam kerinduan kepada adik-adik program Generasi Cemerlang



Sunday, December 13, 2009

Antara Realiti Dan Fantasi Sebuah Walimah


“ bila kau mahu kawin?” kata seorang sahabat

Bila seorang sahabat telah dianugerahkan cahaya mata pertama, kata seorang jemaah surau “Kamu bila lagi, lambat-lambat nanti pakcik tidak pergi nanti?” Tidak pergi ke majlis kenduri agaknya, saya bermonolog. saya membalas dengan senyuman sambil menjawab “InsyaAllah bila sampai masa”

Soalan-soalan seperti ini seringkali ditanyakan pada diri ini. Soalan biasa tapi bisa menusuk kalbu. Boleh membawa saya kepada fantasi sebuah walimah. Tapi apabila difikirkan semula, banyak yang menanti untuk di lakukan sebelum melangsungkan sebuah walimah.

Kehendak sebenar diri

Sekarang saya berumur 23 tahun, masih boleh dikatakan muda. Tetapi sebenarnya diri ini telah pun melangkah beberapa langkah ke alam belia. Alam pertukaran diantara remaja dan dewasa. Mungkin pada ketika ini ramai yang mengatakan alam yang telah sesuai untuk berkahwin. Barangkali kerana ini, banyak soalan-soalan di atas diajukan.

Terkejut saya apabila ada yang berumur baru menjangkau atau lewat belasan tahun telah berfikir untuk berpasangan. Adakah mereka tidak pernah terfikir apakah tanggung jawab sebenar mereka pada ketika itu? Saya tidak marahkan mereka, tetapi sedikit terkilan. Mungkin ada yang telah sesuai berkahwin dan telah pun bersedia untuk berwalimah, jika begitu tiada salahnya. Apa yang menjadi salah, sekiranya mereka ini baru dibangku sekolah atau baru di awal pengambilan ke IPT sudah berfikir untuk berpasangan.

Sebagai contoh, mereka yang berumur 18 tahun. Baru diawal ‘perkenalan’ dengan alam IPT. Jika ditanya pada umur berapa mereka ingin berkahwin, pasti ada yang menjawab 25 tahun. Itu adalah jangkaan awal mereka. Sekirannya ditolak dengan umur sekarang, kira-kira 7 tahun dari sekarang mereka akan berkahwin dan pada ketika ini mereka telah pun mempunyai pasangan masing-masing.

Jika diteladani pada 7 tahun yang lepas, apakah perubahan yang berlaku kepada fizikal, pemikiran, pergaulan, persahabatan, persekolahan dan macam-macam lagi, apakah yang berlaku? Tentu banyak perubahan yang berlaku. Maka, secara tidak langsung pasti banyak yang telah berlaku sekiranya diteladani bagi merancangan masa depan untuk 7 tahun dari sekarang. Jadi, kenapakah mereka-mereka ini mencari pasangan pada masa sekarang.

Adakah berpasangan itu untuk berseronok? Sekirannya untuk berseronok, dimanakah keseronokan sebenar berpasangan? Keseronokan sebenar adalah bila mana kita dan si dia berkongsi segalanya. Tetapi, adakah dengan berpasangan sekarang kita mampu berkongsi segala-galanya sekiranya tidak diikat dengan ikatan perkahwinan? Atau adakah SERONOK dengan CINTA TERLARANG?

Sekiranya untuk saling saying-menyayangi? Izinkan saya untuk bertanya pada diri anda semua, adakah cukup kasih sayang kita pada ahli keluarga kita? Ini tidak lagi ditanyakan kasih sayang pada pencipta sayang itu sendiri. Jadi, adakah adil kita pada diri kita meletakkan kasih sayang bukan pada yang berhak sebelum sampai waktunya? sekirannya kita menyayangi ahli keluarga kita sepenuhnya, maka secara tidak langsung sayang kita pada sesuatu yang lain akan tertolak secara sendiri melainkan ianya telah sampai masa dan waktunya kerana jiwa manusia ini difitrahkan untuk berpasangan. Jadi, dimana sayang kita? Kepada siapakah sepatutnya sayang kita?

Mungkin ada yang mengatakan, “saya ingin mengenali hati budi si dia terlebih dahulu” . baik, sekiranya begitu kenyataannya mari kita berfikir sejenak, sejauh manakah si dia berterus terang dengan kita? Sejauh manakah si dia membuka segalanya tentang dirinya? Sama-sama kita nilai diri kita sendiri, sekiranya kita berpasangan, adakah kita memberitahu atai menceritakan semua soal peribadi kita? Atau lebih malang lagi, kebanyakan dari sikap sebenar kita, kita tidak tunjukkan kepada si dia bagi menjaga hati si dia. Ketika di alam perkahwinan segala tabiat, perangai, sikap perbuatan akan dilihat secara terus. Semua perkara akan nampak ketika di alam perkahwinan, jadi sekiranya alasan kita adalah untuk mengenali si dia dan si dia mengenali kita sejauh manakah kejujuran kita kepada si dia?

Bagi yang CINTA ISLAMIK, alasan-alasan diatas juigak digunakan tetapi dalam metod yang berbeza, dalam medium yang berbeza. Ana enti, akhi ukti, hubbu dan lain-lain istilah lagi. Malah ada istilah ‘cop’ dahulu. Semuanyanya hampir sama, tetapi medium dan metod yang berbeza. Ini tidak bermakna saya mengekang baitul muslim atau mana-mana badan yang memgambil tanggung jawab ini. Ada baiknya ada badan-badan seperti ini. Tetapi saya kurang suka sikap adk-adik kita ini yang terlalu awal merancang sedangkan masa dan perjalannya masih jauh. Jadi rancanglah sebaik mungkin dengan memikir sebab dan akibatnya.

Jika kita tahu bertapa bulatnya cinta, kita akan lebih sedar dalam meniti usia kita.


Wednesday, November 25, 2009

Rintihan Hati


Assalamualaikum w.b.t

Telah lama saya biarkan blog ini bersawan dan makin bersawang, semak dan terus bersemak. Kunjungan kali ini, sekadar mengisi sedikit masa yang terbiar selama berada di dalam perjalanan pulang ke negeri sendiri selepas empat hari merantau di negeri orang. Masa yang tidak mencukupi dengan tanggung jawab yang ada memungkinkan saya untuk meninggalkan blog yang bersendirian.

Keberadaan di dalam bas ini, Fikiran kembali menjengah tirai ujian itu. Hati kembali meneliti kesilapan pada diri ini. Jiwa meronta kelemasan dengan ujian itu.

Bila di imbas kembali, semuanya ada hikmah dari-Nya. Semua ada sebab dan musabab yang mungkin boleh atau tidak boleh diterima aqal saya sendiri. Namun tetap ada penjelasan disebalik dengan apa yang berlaku. Apa yang telah saya lalui ini adalah ujian yang peling getir. Ujian yang cukup menguji kesabaran. Ujian yang cukup menguji ketabahan.

Bila difikirkan juga, mungkin disebalik kesinambungan nawaitu diri ini sehingga diberikan Allah akan ujian ini. Mungkin tidak harus untuk saya menceritakan apa yang berlaku, cukuplah sekadar blog ini menjadi alat untuk meluah apa yang terpendam.
Sekarang telah jelas, apa yang haq dan apa yang batil, apa yang menjadi keperluan atau kehendak pada diri ini. Segala-galanya telah tersurat. Semoga Allah menberikan saya ujian yang segetir ini untuk kesekian kali kerana dengan ujian ini mengembalikan saya pada fitrah asal kejadian diri.

Semoga Allah memberikan hidayah kepada pembawa fitnah itu, semoga Allah memberikan petunjuk kepada penyebar dan pendengar agar mereka meneliti terlebih dahulu apa yang disebar dan apa yang di dengar.

Ya Allah, diri ini lemah, diri ini memerlukan pertolongan dari mu, diri ini memerlukan marfirah dari mu, diri ini memerlukan cinta dari Mu, Diri ini sangat merindui ‘dakapan’ Mu, Jagalah diriku sebagaimana Engkau menjaga Kekasih Mu. Bimbinglah aku ke jalan hidayah Mu. Aku menyerahkan diri ini pada Mu, Aku menyerahkan diri ini ke jalan Perjuangan Mu, aku menyerahkan diri ini demi mempertahankan Agama Mu, Apa yang ku harapkan hanyalah harapan keampunan dari Mu, Bantulah aku dari segenap keadaan. Ameen Ya raabal a’lamin... Astgafirullah…..

Sunday, August 16, 2009

Tahniah!!

Assalamualaikum w.b.t. Segala puji-pujian dipanjatkan kepada Allah Subahanallah Taala, Selawat dan salam keatas Rasul Junjungan, Kekasih Allah.

Tahniah saya ucapkan kepada semua warga tahun 3 08/09 yang telah pun bergraduasi pada 14 ogos 2009 baru-baru ini.. Lebih dari 50 orang yang bergraduasi daripada Kolej Darul Quran Islamiyah dan Institut Pengajian Al-Azhar.

Bagi yang telah bergraduasi ini, bakal melanjutkan pengajian di Indonesia, Yaman, Al-Kelantani, dan Al-Peraki akan datang dalam bidang-bidang masing. Tahniah sekali lagi saya ucapkan!!

Semoga ilmu yang sedang dan bakal dituntut menjadi bekal didunia dan akhirat. Semoga anda semua menjadi pembantu-pembantu kepada agama Allah.


Friday, August 14, 2009

Penat......Berbaloi

Assalamualaikum w.b.t, segala pujian dipanjatkan kepada Allah s.w.t yang membuka kesempatan kepada saya untuk kembali menjenguk, membersihkan segala sawang-sawang yang ada sepeninggalan saya. Akhir-akhir ini amat sukar untuk mancari waktu meluangkan masa terhadap blog ini. saya lebih bayak berulang daripada asrama ke rumah. Komputer dan internet berada dirumah, jadi untuk melakukan kerja-kerja perkomputeran seperti design graphic dan meng’update’ blog diantaranya sedikit sebanyak telah tergendala. Mungkin keadaan ini yang memaksa saya untuk mencari sebuah komputer riba. Lebih senang untuk dibawa ke mana saja.

Tika ini saya sedang bercuti semester untuk memasuki tahun satu pada tahun hadapan. Namun selepas daripada peperiksaan akhir untuk semester kedua Pra-Diploma ini, dah hampir sebulan dan sekarang ini telah pun memasuki bulan kedua cuti semester, tetapi saya masih lagi tidak ‘bercuti’. Mesyuarat, program, seminar dan lain-lain. Mungkin jika ingin dibandingkan, saya bukalah sesibuk yang difikirkan. Tetapi alhamdulillah, Allah s.w.t masih menetapkan hati dan tubuh badan ini untuk berada didalam jalan dakwah dan jemaah. Allah s.w.t membuka peluang untuk saya menyibukkan diri pada Jemaah dan islam. Walaupun diri ini masih banyak kekurangan, masih banyak kelemahan, tetapi diri ini masih mencari kekuatan dan sedang membina kelebihan yang baru, Alhamdulillah peluang itu telah Allah bukakan. Bukanlah untuk menjadi sempurna, tetapi cukuplah sekadar sebagai insan dan muslim sejati.

Astaghfirullah.... badan terasakan cukup penat. Mungkin kerana perihal badan tidak kecukupan rehat. Telah 4 hari berprogram, mungkin malam ini diri ini pula yang perlu di’programkan’. Saya rasa cukupah sekadar ini dahulu posting malam ini. Terasa mata ini terlalu berat. Maaf dipinta bagi yang menegur, kenapa blog lama tidak update. Sedikit jawapan diberikan mungkin boleh menjawab persoalan tarsebut.

Barakallahu lakum...






Monday, July 13, 2009

Dalam kenangan




Perasaan yang sukar

Pada petang 27 jun 2009 saya pulang dari menyelesaikan urusan saya. Setibanya saya dirumah saya tidak berpeluang untuk berjumpa dengan nenek. Dia telah diambil oleh bapa saudara saya bagi menyempurnakan giliran menjaga nenek saya. Kebetulan pula pada ketika itu, ibunda saya ingin ke Putrajaya bagi menjaga buah hati yang sedang sakit. Pada tengah hari itu, saya tidak jangkakan yang pertemuan secara sedar bersama nenek yang satu itu adalah pertemuan yang teakhir dalam hidup saya.

“ nenek dah balik ke?” Tanya saya yang kehairanan. Seketika selepas itu, satu perasaan mulai timbul. Satu perasaan yang merasakan itu pertemuan yang terakhir saya berjumpanya. “ Astghfirullah…” saya bermonolog dalaman. Satu perasaan yang tidak ingin saya fikirkan. Mungkin itu adalah satu lintasan yang biasa. Tetapi ianya tetap menyelubungi saya.



Didalam kesibukan menduduki peperiksaan akhir untuk semester kedua, perasaan itu mulai tenggelam, sehinggalah pada jam 12.30 tegah hari 3 julai 2009 ketika ayahnda pulang dari kerjanya, dia telah saya memaklumkan, “nenek jatuh masa berada dirumahnya”.. saya bertanya “ kenapa? Lelah ke?. Sebelum ini nenek saya telah di kejarkan ke hospital akibat dari penyakit jantungnya yang berkerja keras untuk mengepam darah sehinggakan dia sentiasa kepenatan seolah-olah orang yang mempunyai penyakit lelah. Selapas solat asar saya terus ke hospital untuk melihat keadaan nenek.

Setelah sampai di hospital, saya melihat tubuhnya yang kaku, hanya tangan dan kaki di sebelah kanan sahaja yang mampu di gerakkan, matanya tidak dibukakan. Mulutnya berkumat-kamit kadang-kadang jelas apa yang ingin dikatakan, kadang-kadang tidak.
"....Rimas..." tuturan yang kurang jelas kedengaran perlahan darinya. rimas dengan segala bantuan pernafasan sementara barangkali. agak merimaskan, tetapi itulah yang perlu dilaluinya.

Doktor masih tidak mengeluarkan apa-apa keputusan daripada pemeriksaan awal terhadap nenek saya kerana ujian dan pemeriksaan masih dijalankan. Dalam kesibukan doktor memeriksanya, sempat saya menjeling keputusan awal yang dikeluarkan semasa di unit rawatan kecemasan, secara ringkasnya nenek saya telah mengalami simpton awal 'stroke'. Ya Allah, permudahkan jalan yang dilalui oleh nenek saya kali ini.

Setelah itu, tiba seorang pegawai pembantu perubatan yang meminta kebenaran untuk menjalankan CT Scan, untuk mengenalpasti sejauh manakah tahap pembekuan darah didalam otak nenek saya.

Jam 12.00 tengah malam, nenek saya telah di masukkan kedalam Scanning Room bagi menjalani CT scaning,

Jam 6 pagi, nenek saya telah diberikan bantuan pernafasan kerana peparunya lemah untuk berfungsi secara sendiri. Ketika ini, keadaan nenek banyak dibantu oleh alat bantu penafasan dan keadaan nenek dari segi denyutan jantung dan tahap penafasan nenek saya sentiasa dipantau oleh mesin..



Berita yang mengejutkan

Jam 4.15 petang, 4 julai 2009 saya menerima panggilan dari kakak, “ nenek dah nazak”. Kakak terus bergegas pulang ke rumah bagi megambil saya untuk ke hospital kira-kira jam 4.30 petang. Suhbanallah…. Ya Allah, Selamatkanlah Nenek saya” Hati saya mula merintih. Kebetulan ketika itu, Azan asar kedengaran, saya bergegas solat asar dan terus ke hospital bagi melihat keadaan nenek.

Di dalam perjalanan ke hospital, tidak saya sangka pada ketika itu hampir kesemua lampu isyarat yang kami lalui dalam keadaan merah… Ya Allah, bertapa beratnya engkau menguji saya pada kali ini. Jam 5.00 petang saya tiba di hospital… saya melangkah ke wad 8. Dari kejauhan saya melihat ramai sanak saudara yang telah dahulu tiba sebelum saya. Semakin dekat dapat kedengaran, tangisan-tangisan perlahan dari mereka yang tidak dapat menahan sebak.

Saya tiba, innalillahi wa-inna ilaihiraji i‘unn. Ya Allah, tidak sempat untuk saya berjumpa untuk kali yang terakhir dengan nenek saya. Sekujur badan telah kaku dipembaringan wad 8..

Makin sedih apabila membayangkan ibunda saya yang tidak sempat untuk berjumpa dengan nenek kerana pada ketika saat kematian nenek, ibunda saya dalam perjalanan pulang dari putrajaya. Ya Allah…. Tabahkahlah ibundaku untuk menghadapi dugaan ini”

Jam 6.20 petang jenazah telah di hantar pulang di rumah arwah nenek di Felda Bukit Bading, Kuala Berang. Segala persiapan untuk mengebumikan jenazah akan dilakukan keesokan harinya. Kerana waktu malam menyukarkan untuk mengebumikan jenazah. Jenazah di baringkan di sebuah bilik dirumahnya. Itu adalah kali terakhirnya arwah ‘tidur’ dirumah tersebut sebelum di hantar ke pembaringan baru. saya Sempat membaca ayat suci Al-Quran untuk menemani 'tidur' Arwah nenek.

Jam 11.15 pagi, jenazah nenek siap dimandikan dan dikafankan. Ketika itu sempat saya mencium pipinya untuk kali yang terakhir. Sejuk pipinya, tenang wajahnya ketika itu. Saya tidak dapat menahan sebak. Ya Allah.. Tabahkanlah diri ini. saya telah diminta untuk mengimamkan solat jenazah arwah nenek, namun tiada kekuatan pada diri ini. Ya Allah, Berikanlah kekuatan pada diriku, engkau ampunilah dosa nenekku ini, tempatkanlah dia bersama orang-orang yang Engkau kasihi.

Pada jam 11.30 jenazah diusung ke Tanah perkuburan Islam Felda Bukit Bading. Arwah nenek dikebumikan sedikit jauh dari kubur atuk. Saya hanya mampu melihat dari luar liang sahaja sekujur nenek yang amat saya sayangi. Nenek yang terakhir yang pernah rapat dan pernah bersama dengan saya. Sesekali teringat semasa hayatnya, masih segar bibit senyum dan suaranya..... Semoga Allah Merahmatinya...Al-Fatihah...

Allahumarfirlaha warhamha, wa’afiha, wa’fu-anha.....

Muslims Global Connections
2009


Saturday, July 4, 2009

Siaran Tergendala!



Bismillahirrahmanirrahim....Assalamualaikum...diharap anda dapat bersabar untuk sementara waktu kerana saya sedang menduduki imtihan untuk semester kedua.

Untuk itu, Segala posting akan dihentikan untuk sementara waktu bagi menyediakan diri untuk menghadapi peperiksaan ini.

P/s: Doakanlah kejayaan penulis blog ni. Setiap doa anda tidak mampu saya bayar dengan tulisan, ucapan dan harta. Syukran wa JazakumuLlah khairal jazaa'.

Best day ever!!!!


SpongeBob SquarePants

SpongeBob SquarePants siri kartun yang cukup dikenali umum.. kisah span kuning yang tinggal didalam laut, bersama kawan-kawannya Sandy Cheeks, Patrick Star, Mr. Krabs, Squidward Tentacles, dan tidak lupa pada musuh tradisi Mr Krabs iaitu Sheldon Plankton. Jika di ulas mengenai kartun ini, tiada apa yang menarik mengenai warna pada kartun tersebut, juga pada suasana kehidupan di Bikini Bottom sekadar kartun fiksyen yang merupakan imiginasi kanak-kanak semata-mata.



Nilai Di Sebalik

Saya adalah diantara ribuan malahan jutaan peminat setia SpongeBob SquarePants di TV9 jam 5.30 petang. Hampir setiap hari tidak saya ketinggalan untuk menonton rancangan tersebut. Apa tidaknya, seronok melihat watak spongebob dan Patric Star. Lawaknya ‘slumber’ dan santai. Tidak terlalu kompleks dan merumitkan para penonton terutama dari kalangan kanak-kanak untuk memahaminya.

Namun, didalam ‘keslumberan’ kedua-dua watak tersebut tersilit maksud tersirat yang ingin disampaikan terutama kepada kanak-kanak yang menonton.

Bestday ever adalah sebahagian daripada episod di musim ke-empat SpongeBob SquarePants. Di dalam episod ini menceritakan Sponge bob telah terjaga dari tidurnya dan ingin melalui harinya yang menyeronokkan bermula daripada bekerja di Krusty Krab, Berkarate bersama dengan rakannya Sandy Cheeks, menangkap obor-obor bersama Patric Stars dan menonton persembahan Squidward Tentacles.

Namun, segalanya musnah selepas dia tiba di Krusty Krab dan melihat Krusty Krab yang telah dimakan oleh cacing(anai-anai) menyebabkan dia tidak dapat bekerja untuk hari itu, seterusnya ketika dia mengajak sandy Cheeks untuk berkarate, Sandy terpaksa menbetulkan bumbung umahnya yang bocor. Kekecewaannya berterusan ketika menangkap obor-obor bersama dengan Patric Star, dan makin bertambah kecewa apabila dia tidak dibenarkan untuk masuk ke persembahan Squidward kerana ketiadaan tiket.

Positif

Disebalik kegusaran spongebob itu tadi, terselit satu sikap positif didalam diri spongebob. Walaupun dalam keadaan kecewa dia masih cuba untuk memastikan hari tersebut merupakan Bestday Ever!. Namun setelah terus cuba untuk melalui hari tersebut kekecewaan masih menyelubunginya. Apa yang ada pada si span kuning ini adalah sikap yang sentiasa positif dalam segenap hal. Tiada apa baginya tidak boleh walaupun pelbagai cabaran telah dia lalui.

Kemuncak

Di dalam best day ever ini, kemuncak di dalam epison ini spongebob ditenangkan oleh rakan-rakaannya bagi memastikan hari itu hari yang paling bahagia buat Spongebob. Di sinilah boleh kita kaitkan dengan balasan di kemudian hari. Tidak siapa tahu apakah bentuk balasan tersebut, tapi yakinlah setiap perbuatan ada pembalasan. Untuk itu, belajarlah untuk bersemangat dan mulakan hari dengan BEST DAY EVER!!... dengan sikap positif di awal pagi mampu memberikan kita sentiasa positif untuk melalui hari tersebut. Kerana mengikut ‘Law Of Attraction’ atau dalam bahasa mudahnya hukum tarikan permulaan adalah menentukan pengakhiran. Fikirkanlah...