Saturday, April 10, 2010

Pantai Batu Buruk : Ibrah daripada usrah



kita mulakan majlis dengan umul kitab Al-Fatihah..” Pengerusi majlis memulakan majlis usrah

“Bissmillahirahmanirrahim.. Alhamdulillah…. Saya menyatakan rasa syukur kerana dengan rahmat dan kasih sayang-Nya kita dapat bersama di dalam usrah pada kali ini walau ada yang baru sahaja pulang daripada kerja” Naqib memulakan bicara.
Usrah yang diadakan pada kali ini agak lewat daripada biasa. Jam menunjukkan 1.00 pagi. Namun kehadiran usrah pada kali ini adalah sangat luar daripada jangkaan. Satu fenomena yang amat luat biasa.

Tempat usrah juga pada kali ini agak janggal dan mungkin tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kumpulan usrah yang lain. Di pantai Batu Buruk.

Pada awal usrah, kami memulakan dengan bacaan mathurat. Mungkin ada yang dijangkiti dengan sindrom menguap. Mengantuk barangkali. saya pula cuba mengukir sebuah senyuman, mana tidaknya dalam hati saya bermonolog “ apa agaknya anak-anak muda yang berada di sekitar batu buruk ini fikir tentang kami yang membaca zikir tengah-tengah malam, tambahan pula di tengah-tengah taman di Pantai Batu Buruk”. Memang agak janggal. Apa-apa pun ini adalah pengalaman.

Setelah selesai membacakan mathurat, kami diminta membentangkan teks usrah yang bertajuk usrah dan matlamat. Seorang demi seorang diminta untuk membentangkan. Jika tadi, suasana menguap dapat diperhatikan, kali ini gelak tawa kecil kami ulitkan. Masakan tidak, ada yang membentang seperti khatib membacakan teks khutbah jumaat, ada yang membentang dalam keadaan suara pagi dan sebagainya.

Terharu

Walaupun agak lama saya tidak mengikuti usrah sepenuhnya sebelum ini, mungkin
sebelum ini saya mengikut usrah pemuda kampung yang di buat satu bulan sekali.
Perasaan terharu mulai timbul sedikit demi sedikit.

Makin bersama dengan usrah kali ini makin saya rasa dekat dengan mereka.
Sengaja sebelum ini saya menawarkan diri untuk menyertai kumpulan yang boleh dikatakan ‘hardcore’. Jika dilihat secara zahir, agak sukar untuk mereka bersama-sama di dalam usrah tersebut.

Tetapi semua itu adalah sangkaan.

Pernah beberapa kali saya dinasihatkan oleh beberapa orang untuk memecahkan kumpulan ‘hardcore’ ini memandangkan saya adalah ketua unit usrah. Jadi hak untuk membentuk kumpulan adalah berada ditangan ahli mesyuarat saya.

Jika disebelah pelajar perempuan, kami telah menggunakan borang soal selidik bagi memecahkan mereka kepada beberapa kumpulan mengikut pemikiran. Namun, bagi pelajar lelaki kaedah ‘istimewa’ kami gunakan. kami memecahkan berdasarkan kepada geng-geng tujuannya tidak lain, kerana ingin memastikan usrah itu lebih mudah untuk dilakukan.

Mungkin agak diskriminasi kerana tidak memecahkan kumpulan tradisi tersebut kepada kumpulan-kumpulan yang lain, tetapi bermatlamatkan untuk memastikan mereka terus bersama usrah, saya tetap berdegil.

Hati saya tersentuh, apa tidaknya walaupun ahli kumpulan ini mempunyai kerja-kerja masing, mempunyai ‘kehidupan’ masing-masing. Ada yang ingin menyiapkan tugasan, ada yang bekerja sehingga larut malam bagi mencari kewangan untuk menampung pelajaran. Namun semangat yang mereka miliki untuk bersama ahli kumpulan usrah, menjadikan hati saya tersentuh.

Apa tidaknya, jika ingin keluar daripada asrama mereka untuk ke Pantai Batu Buruk mengambil masa kira-kira 30 minit, tambahan di tengah malam, hati saya cukup terharu dengan komitmen mereka. Usrah tidak terlalu lama, kira-kira satu jam sahaja. jika difikirkan secara logik, mungkin agak tidak berbaloi untuk mereka semata-mata menghadirkan usrah ketika itu. tetapi itulah pengorbanan yang mereka lakukan.

Nikmat yang sedikit demi sedikit yang Allah berikan kepada orang yang ikhlas dijalannya memberikan seribu makna dan sukar untuk ditafsirkan oleh kata. Nikmat itu antaranya nikmat berukhuwwah.

Firman Allah dalam surah Al-Imran Ayat 103

"kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. "

Firman Allah di dalam ayat diatas, jelas mengenai nikmat islam yang menjadikan kita terus berukhuwwah. Usrah adalah keluarga, pengertian dalam bahasa arab pun telah bermakna keluarga. Jadi ikatan yang ada sedikit demi sedikit membawa kita kepada pengertian usrah yang lebih mendalam iaitu persaudaraan islam. Persaudaraan yang tiada pada agama lain.

Semoga nikmat yang diberikan ini menjadi suatu ikatan yang Abadan abada kepada kami. Islam Itu persaudaraan

“sama-sama kita menutup majlis dengan tasbih kafarah dan suratul al-a’sr” Pengerusi Majlis menutup majlis yang cukup istimewa pada malam itu.