Sunday, February 28, 2010

Hakikat sebenar diri


Terbaring saya selepas menunaikan tuntutan kerohanian pada dingin pagi.

Dalam merasai setiap helaan nafas yang dihembus, fikiran melayang dibuai setiap palit-palit dosa yang pernah menjadi teman.

Jiwa meronta sambil bermonolog, “ alangkah baiknya sekiranya aku dilahirkan semula, atau alangkah baiknya sekiranya aku diberikan peluang kedua untuk mendapatkan cinta Allah tanpa ada seberang palitan yang merosakan hati saya”


Tetapi saya sedar, semua itu tidak akan berlaku, semua itu tidak akan kembali. Semua itu tidak seperti yang saya inginkan. Namun diri ini tetap bersyukur kerana diri ini adalah seperti sekarang.

Sekiranya tiada saya dahulu, bermakna mungkin tiada juga saya seperti sekarang. Ujian dan dosa saya yang terungkap didalam kenangan, menjadi sebuah perjalanan yang panjang untuk saya berubah, dan terus berubah. Menjadikan saya lebih tabah dan lebih mengenali hakikat penciptaan.

Syukur yang tidak terhingga kerana Allah telah ketemukan saya dengan jalan ini. Allah telah mengembalikan saya kepada-Nya. Setidak-tidaknya, palitan-palitan ini mampu diubati.

Saya sedar, bukan semua palitan-palitan dosa ini boleh diubati. Namun harus saya mencari jalan untuk mencapai keredhaanNya.

Helaan nafas saya teruskan sehingga tidak says sedar, telah mencurahkan air mata yang amat sukar untuk saya curahkan.

Hati mula meratapi, adakah tangisan ini dek kerana diri sendiri atau ianya timbul diatas kasihNya. Tangisan banyak terhalang kerana palitan luka yang tidak diubati.

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kemaafan daripada MU diatas segala dosa yang dilakukan, sungguhpun ku mengerti setiap yang ku lakukan banyak merosakkan hati dan jiwaku. Ampunilah segala dosa-dosa diri ini.



Wednesday, February 17, 2010

KADER : Kenangan yang terlukis



Ketika bermesyuarat agung, tiba-tiba sekeping sms menjengah. Nombornya masih baru, tidak saya kenali. Namu, diakhir pesanan ringkas itu, terselit nama yang cukup saya kenali semasa program baru-baru ini.


Smsnya biasa-biasa sahaja, tetapi apa yang membuatkan fikiran saya kembali dengan program yang telah saya ikuti 2 hari sebelum itu. Mungkin agak terlewat untuk menukirkan kenangan di sini, namu diri agak kepenatan dek kerana banyak perkara perlu diselesaikan selepas program.





Apa tidaknya, ada yang kena bermandi lumpur, ada yang berikrar suara rokers, ada yang terpaksa jadi mumia, ada pula yang kena jadi labah-labah.


Tapi begitulah hakikat program. setiap program ada objektifnya yang tersendiri. Objektif menjadi matlamat kepada kami dalam pembentukan adik-adik. Matlamat yang akan memastikan halatuju kita. Jadi, kami bersama memimpin tangan adik-adik dalam menempuh matlamat tersebut.



Segalanya telah tersedia, jalannya telah kami tunjukan, hanya yang tinggal adalah untuk mereka lalui. Semoga program yang dilalui ini menjadi pemangkin untuk adik-adik memulakan langkah.

Semoga berjumpa lagi, salam ukhuwwah fillah buat Kem Pengkaderan Remaja Islam ( Lepasan SPM ) Semoga ilmu yang diberikan dimanfaatkan.



Ila liqa'...



Sunday, February 7, 2010

Ketakutan yang mula merajai


Akhir-akhir ini saya sering terlayang dibawa fantasi sebuah masa depan yang mungkin ya atau mungkin tidak saya lalui. Tetapi Fantasi tersebut sangat menakutkan saya. Di mana diri saya yang lebih sukakan cabaran, tekanan dan sebagainya. Kerana itu semua lebih mencabar kemampuan diri saya.

Namun, pada masa akan datang saya bimbang tiba masa suatu ketika saya mungkin akan dibawa arus kehidupan. Apa yang dibayangkan adalah sebuah kehidupan yang terlalu biasa, waktu pagi pergi kerja, pulang dari kerja bersama anak-anak dan isteri.

Kehidupan selama 24 jam, 7 hari seminggu. Cuba dibayangkan, kehidupan sebegini berlanjutan selama 10 tahun atau mungkin sampai mati!

Tiada apa yang dilakukan, mungkin bagi yang biasa dan menginginkan kehidupan sebegini, bagi mereka terlalu biasa dan tiada apa-apa.

Tetapi bagi diri saya, ianya seperti pisau yang menikam jiwa yang amat menyakitkan. Walaupun tika ini, terlalu banyak keputusan yang saya lakukan telah mencabar diri saya, namun begitu masih timbul keadaan saya terlalu mengikut suasana, sehinggakan suasana telah banyak mengubah saya. Tidak ada masalah sekiranya mengubah kepada positif, tetapi yang merisaukan kepada negatif!

Namun begitu, apa yang saya doakan, perkara ini tidak berlanjutan, agar ianya tidak menghimpit diri saya. Muslim yang baik adalah hari ini lebih baik daripada semalam. Setiap hari kita perlu mencipta suasana baru agar kita tidak mengikut arus yang dicipta oleh orang lain.


Wednesday, February 3, 2010

Semoga Rohnya Dirahmati

Dalam Kenangan

Al-Fatihah buat Allahyarhamah Puan Nailah, Pegawai kewangan Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 9.45 malam semalam.

Beliau merupakan Staf dan ibunda kepada kami semasa hayat beliau. Beliau sering memberi nasihat yang menjadi penyuluh kepada saya khususnya dan kepada sahabat-sahabat yang lain.

Beliau telah menderita sakit barah kira-kira 3 bulan yang lepas yang mana penyakitnya telah merebak kepada tulang belakang yang menyebabkan beliau lumpuh separuh badan. Pada 2 Februari 2010 beliau telah tidak sedarkan diri sehingga ke akhir hayat beliau.

Semoga Rohnya dicucuri Rahmat Oleh Allah s.w.t