Saturday, May 21, 2011

Cerita Biasa-Biasa saja, ibrahnya Luar Biasa


Saya tertarik sewaktu diminta untuk bersama didalam program kursus keushawanan bagi perserta-perserta e-kasih dibawah seliaan Kelab Wanita Kijang. Pelbagai peringkat umur yang saya jumpai. Pengalaman demi pengalaman dikongsi, pengalaman mereka yang dahulu merasai garam daripada saya.

Apa yang menarik saya mengenai seorang pak cik, kami memanggilnya pak harun. Bagaimana kesusahan-kesusahannya dikongsi cerita muda-mudanya.

“anak-anak pak harun, pak harun akan pastikan dapat solat jemaah bersama pak harun.”
“Sekiranya pak harun tengah kerja overtime sekalipun, Pak Harun akan balik rumah. Kalau sekiranya pakcik tak dibayar over time sekalipun Pak Harun sanggup.” Tambah beliau.

“Wah! hebatnya pak harun” dalam hati saya berbisik.

“Ye ke Pak Harun?” Tanya saya

“bukan itu sahaja, Pak Harun akan pastikan anak-anak Pak Harun pulang ke rumah sebelum maghrib dan hanya dibenarkan keluar selepas isyak.”

“tapi…”

Tapi apa Pak Harun? Saya menambah.

Pak Harun akan pastikan anak-anak Pak Harun pulang sebelum jam 10.30 malam.”

Yang perempuan pun sama ke Pak Harun?”

Perempuan? Pak Harun tak benarkan diorang keluar malam-malam.”

Saya makin kagum dengan sikap pak harun. Sekiranya dilihat, dia bersahaja dan penuh dengan lawak jenaka yang menghiburkan kami.

Ceritanya bersahaja, tetapi tersirat makna.

Dalam hati saya terkedu, masakan betapa ibu bapa sekarang sudah tidak mempedulikan tarbiyyah mudah ini. Malahan ada ibu bapa yang tidak bersembahyang!

Dalam laman web iluvislam.com, sempat seorang pengguna meluahkan perasaan bagi meminta pandangan. Bagaimana ibu bapa mereka melarang mereka adik beradik untuk bersembahyang. Dan abangnya pernah di belasah oleh ‘orang-orang’ ayahnya kerana ingin melanjutkan ke peringkat Tahfiz Quran.

Saya terkedu..

membaca luahannya di forum seperti membaca skrip drama.. Sedih luahannya..

Masyarakat kita telah hilang nilai agama pada diri mereka, akibat daripada didikan yang lebih utama diabaikan.

“Salah seorang daripada anak pak harun yang telah bekerja sebagai askar, pakcik berpesan, kalau kamu di kem tentera mungkin boleh pulang selewat-lewatnya jam 12 malam, tetapi ‘Kem ayah’ hanya pada hanya 10.30 malam” tegas beliau

Saya makin kagum.

Bapa yang menjadi pemimpin kepada anak-anak.

Sukar dicari, sukar juga diganti.

Cerita bersahaja, tersirat makna.

Bagaimana pula kita…. Astaghfirullah…

Friday, February 18, 2011

Gema Tahun Gajah


credit to http://siti-muthiah.blogspot.com

Maulidul rasul sering mengingatkan kita kepada kelahiran Rasulullah s.a.w. Malah, perkataan mauled itu sendiri memberi makna kelahiran.

12 Rabiulawal pada tahun gajah, ditandakan sebagai tarikh dan tahun rasulullah dilahirkan. Kita meraikan kelahiran rasulullah pada 12 rabiul awal. Sesetengah pendapat ulama, dengan hadith yang lebih diterima 9 rabiul awal adalah tarikh kelahiran Rasulullah.

Tahun Gajah juga adalah tahun gema pada kelahiran Rasulullah s.a.w. Tahun yang disebut-sebut. Apabila disebut tahun gajah, sudah pasti kita akan mengingati tahun kelahiran Rasulullah.

Tahun gajah menyaksikan sebagai tahun perancangan yang pertama untuk memusnahkan baitullah di Mekah. Perancangan yang telah di buat dengan perasaan hasad dengki terhadap mekah kerana menjadi pusat pada perkembangan perniagaan.

Kebanyakan kabilah-kabilah daripada serantau mesir setiap tahun akan menunaikan haji di mekah. Sehinggakan ianya menimbulkan keresahan kepada abrahah.

Abrahah yang berhasad dengki bermesyuarat bersama pembesar-pembesar mereka.

“bagaimana untuk kita tumbangkan mekah daripada menjadi tempat tumpuan perniagaan?” kata abrahah

“ kita musnahkan kaabah” jawab salah seraong daripada mereka.

Jika musnahkan kaabah, ianya belum pasti untuk menjadikan San’a sebagai tempat tumpuan ramai” kata abrahah.

“Bagaimana sekiranya kita membina kaabah sebagaimana Mekah, ianya boleh menjadi tempat tumpuan orang ramai untuk menunaikan haji nanti.” Seorang lagi mencadang,

Abrahah bersetuju dengan cadangan tersebut.

Mereka mula membina kaabah tiruan berbentuk segi empat seakan-akan kaabah. Namun begitu, kain kaabah yang diletakkan untuk menutupi kaabah tiruan itu, diletakan berwarna-warni, dan berbeza dengan kaabah yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim.

Mereka menyangkakan mereka mampu mengalahkan binaan agung yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim, Nabi ismail dan para malaikat. Mereka sangkakan Kaabah adalah binaan sebagai mercu tanda sahaja.

Kemudian, sebagai langkah seterusnya. Abrahah telah membeli gajah yang berasal daripada benua Utopia memandangkan di Mesir, tidak mempunyai seokor haiwan yang mampu untuk menumbangkan Kaabah.

Gajah tersebut dilatih agar mampu untuk menyesuaikan dengan tuan mereka. Selama berbulan-bulan gajah tersebut dilatih sehinggalah gajah mereka mampu untuk berperang bersama penunggannya.

Mereka telah bersiap sedia untuk berperang dengan menggunakan gajah sebagai alat untuk meruntuhkan kaabah. Mereka bertolak daripada San’a Sehingga mekah.

Disuatu sudut yang lain, abdul muttalib dan sahabat-sahabatnya sedang mengembala kambing dan biri-birinya, disebuah bukit. Pada kejauhan, Abdul Muttalib dan sahabatnya telah melihat debu-debu bertebangan, semakin dekat semakin jelas, sekawan binatang yang mempunyai hidung yang panjang, ber tanduk putih dan panjang serta sangat besar. Jika hendak dibandingkan dengan kuda yang mereka sering tunggangi, sudah pasti tidak sama dan sangat jauh.

Mereka telah lari ketakutan. Masakan tidak, mereka telah melihat binatang yang luarbiasa.

Berbeza dengan abdul muttalib yang mempunyai sifat berani, yang bakal diwarisi cucunya Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib. Abdul Muttalib semakin mendekati angkatan perang abrahah.

Gajah perang dan bala tentera abrahah sedang menuju ke mekah. Semakin lama semakin hampir.

Bala tentera telah berhenti disuatu Lembah, Abrahah telah berhdadapan dengan Abdul Muttalib,

“apakah yang kamu mahukan wahai abrahah?” Tanya muttalib.

“aku mahu meruntuhkan kaabah” kata abrahah

“oh, begitu. Aku fikir, kamu mahu mengambil binatang ternakan aku. Kalau kamu mahukan binantang ternakan aku, aku yang harus kamu berhadapan. Tetapi, jika kamu mahu meruntukan kaabah, sesungguhnya kaabah mempunyai tuhan yang menjaganya” Kata muttalib

Bagi Abrahah, kata-kata Abdul Muttalib tadi sebagai usaha untuk menakut-nakutkan beliau.

“Abrahah tidak mempedulikan kata-kata dan terus mengarahkan bala tentaranya.

“serang!!! “ kata abrahah.

Namun, tiada seekor gajah mereka pun yang berganjak. Malah sebahagian telah berpatah balik cuba untuk beredar daripada tempat tersebut. Seolah-seolah telah menjangkakan sesuatu malapetaka yang akan bakal berlaku.

Pada ketika itu juga, datang sekawan burung ababil utusan daripada Allah yang membawa batu daripada neraka.

Setiap burung ababil membawa 2 ketul batu yang telah mempunyai nama-nama tentera abrahah. Sebelum sempat tentera abrahah melakukan sesuatu, batu tersebut telah menimpa mereka

“Arrrgggghhh…. Aduhh… Panas!! Sakitt….!! “. Mereka menjerit.

Luluh daging-daging daripada badan mereka. Bagai disimbah asid.

Abrahah telah kebingungan. Masakan tidak, perkara sebegini tidak pernah dilihatnya sepanjang hidupnya. Ia merupakan suatu peringatan daripada Allah s.w.t.

Satu persatu daging tenteranya luluh. Yang tinggal hanya tengkorak dan tulang. Mereka mati dalam azab Allah.

Abrahah yang melihat kejadian itu, mula menyesali. Tetapi ianya telah terlambat. Segalanya berlaku dihadapannya.

Abrahah telah cuba melarikan diri, tetapi batu tersebut telah menimpa abrahah. Sepanjang perjalanan beliau pulang dalam keadaan kesakitan, sedikit demi sedikit dagingnya telah luluh.

Allah telah menimpakan azab kepada abrahah delam keadaan yang amat menyeksakan.

Seusai Abrahah tiba dikampung, belum sempat penduduk kampungnya mengenalinya, hanya tengkorak yang tinggal, tiada siapa lagi yang mengenalinya. Batapa hebat percaturan Allah.

Abrahah dihina dengan sehina-hinanya.

Tahun tersebut telah menjadi tahun gema dan tahun yang diingati oleh sesiapa yang menyebutnya, empat bulan selepas berlaku kedatangan tentera Abrahah menyerang mekah, lahirnya insan agung yang menjadi rahmat seluruh alam.

Ianya menjadi tahun yang paling dingati apabila menyebut tahun tersebut.

Sejarahnya telah dilakar oleh Allah.


Wan Mohd Safwan

Kuala Terengganu, Terengganu

Thursday, February 10, 2011

Luahkan atau pendamkan?


“kau tak tahu lagi macam mana bila aku marah” tutur seorang kawan sambil menahan pendam.

“kau ingat, kau seorang saja ang boleh marah? Marah aku belum kau lihat lagi” pekik sahabatnya dalam diam

Mereka yang pernah melalui, pasti mengetahui. Amarah yang cuba dizahirkan. Sesekali teringatkan ketika ‘darah muda’ pernah bersama dahulu. Pantang ditegur. Pantang di sakat. Pasti amarah luahkan.

Terlalu bangga dengan amarah yang bakal merosak jiwa. Jika hanya merosak jiwa yang mengeluarkannya mungkin tidak mengapa. Namun, menikam jiwa mereka yang bersamanya. Jika versi dara muda saya dahulu, pintu, dinding dan bermacam-macam lagi yang menjadi mangsa kemarahan. Merosakkan harta benda, kata sesetengah orang. Jika dulu tidak pernah saya fikirkan, sekarang apabila saya berada kerusi pemerhati, saya ketawa kecil melihat drama pada era tidak matang saya dahulu.

Itu mungkin versi saya. Versi anda? Versi dia? Banggakah kita dengan marah yang ‘ntah apa-apa’? marah itu ada tempatnya. Marah itu serperti ubat, tidak diambil bakal ditimpa penyakit. Diambil berlebihan merosakkan badan. Ambilah sederhana sahaja. Sederhananya macam mana? Marahlah pada perkara yang menjadi bertentangan dengan keagamaan, itupun masih perlu dipertimbangkan. Berdasarkan uslub yang bersesuaian.

Meluahkannya pahit, menahannya lebih pahit

Ketika didalam satu program, saya diberikan amanah sebagai ketua disiplin, memegang amanah sebagai ketua disiplin, pasti akan dipandang sinis. Ketika satu slot, saya pernah di maki oleh salah seorang perserta, jari jemari mengeletar menahan kemarahan.

Jika diikutkan hati dan nafsu mahu sahaja melakukan sesuatu atas kebiadaban mereka. Tetapi saya lebih fikirkan hikmah pada sebuah kesabaran.

Fikiran berkecamuk, hati kecewa, jiwa meronta, nafsu membuak, setiap rasa bermain didalam satu perasaan.

Saya tinggalkan sementara program, memuhasabahkan jiwa. Memohon kekuatan semula.

Ia tidak terhenti disitu.

Ketika melakukan kerja amal, tanpa mengharapkan sebarang gajian, saya pernah dibenci dan dicemuh dengan kutukan peribadi. Amarah di tahan, sepanjang malam menahan kesedihan. Berkecamuk. Tetapi terubat bila mengingatkan janji Tuhan, kelebihan mereka yang bersabar.

Rasulullah Menahan amarah dengan doa

Pada tahun ke 10 kenabian, iaitu 3 tahun sebelum hijrah, Nabi saw menghadapi satu tentangan yang luar biasa hebatnya. Kaum Quraish memulaukan baginda. Dalam keadaan yang penuh tekanan ini, Nabi bersama Zaid Harithah telah memilih bandar tinggi Taif untuk medan dakwahnya. Mencari ruang untuk menguatkan dakwah islam.

Sesampainya di Taif, Nabi bertemu dengan tiga orang ketua Bani Thaqif iaitu suku Arab terbesar di Taif. Salah seorang dari mereka tidak mahu mencampuri urusan dakwah ini. Dia mengatakan, "jika engkau pendusta, aku tidak mahu layan pembohongan ini, tetapi jika kamu benar-benar Nabi, aku tidak mahu dilaknat". Dua orang lagi berhujah dengan Nabi. Mereka yang memang dari awal menolak dakwah ini terus menghina-hina dan memperbodohkan Nabi yang mulia ini.

Akhirnya mereka berdua menghalau Nabi.

"Keluar kamu dari negeri kami ini".herdik mereka

Mereka mengheret Nabi keluar dari Bustan as-Thaqif (taman Thaqif). Penduduk yang sejak awal berkumpul di sekeliling Nabi menolak-nolak Nabi. Anak-anak muda yang lebih agresif membaling nabi dengan batu. Batu-batu itu melukai kepala, badan dan kaki Baginda.

Zaid menjerit-jerit menahan batu yang dilemparkan kepada mereka. Nabi yang cedera meninggalkan Bustan at-Thaqif. Ketika menuruni curam bukit, batu masih lagi menghujani mereka berdua. Setelah jauh, Nabi bersandar di satu batu, baginda memegang badan Zaid, bertanyakan khabar keadaan Zaid. Zaid yang juga cedera lebih membimbangkan keadaan Nabi.

Jibrail telah datang kepada Rusulullah kemudian, berkata:

“Kamu ingin aku hempapkan bukit ini kepada mereka? Atau kamu mahu aku menjerit sebagaimana yang telah dilakukan kepada kaum ad?”

Rasulullah menjawab,

“ Tidak perlu”

Ketika darah mengalir pada badan baginda,Baginda menadah tangan dan bermunajat.

"Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Pemurah kepada sesiapa Engkau menyerahkan daku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keredhaan Mu. Dalam pada itu afiatMu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azab Mu kepada Engkaulah aku adukan hal ku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau"

sekadar balingan cemuhan, balingan makian yang tidak meluakkan, malah sekadar bertikam lidah dalam menentukan keputusan bukan perkara yang perlu diketengahkan. Tetapi tawadhuk dalam melihat amarah dari Allah.

Jika kita mampu marah, bagaimana pula ‘amarah Allah’ dengan diri yang sekerdil kita? mampukah menahan kemurkaan Allah?

Daripada Abu Hurairah r.a.:
Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda:Janganlah engkau marah. Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: Janganlah engkau marah.(Riwayat Al-lmam Bukhari)

Dalam Hadith yang lain,

“Dari Jaddi Atiyyah katanya : Bersabda Rasulullah saw : “ Kemarahan itu dari syaitan dan sesungguhnya syaitan cipta dari api sedangkan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh karena itu jika salah seorang kamu marah, hendaklah berwudhu”. (HR.Abu Daud)


Thursday, August 12, 2010

Resah yang tiada gelisah


Hari yang berlalu seperti biasa, tidak ada apa yang merisaukan, tidak ada apa yang meletihkan minda, juga tiada menjemukan hati. Sekadar hari-hari biasa. Namun, yang dirasakan adalah resah. Resah yang tiada gelisah. Serba tak kena. Kerja dan taklifan terlalu banyak namun hendak disentuh bagaikan tiada daya.

Blog adalah titik tolak untuk saya mengeluarkan segala idea yang tersimpan. Namun sesekali saya coretkan luahan perasaan yang terpendam kepada teman yang tidak punya suara ini.

Resah...

Resah yang dirasakan ini tidak selalu dirasakan, tidak juga panjang. Namun kehadirannya menjadikan diri terperuk kesunyian. Kesunyian yang tidak bisa diterjemah dengan kata-kata. Sekadar ungkapan yang tidak terlafaz.

Sesekali terlintas di benak fikiran, ia bukannya teguran yang berwahyu sebagaimana quran. Di berikan dengan perasaan agar diri yang sering melupakan-Nya, kembali kepada-Nya. Diberikan dalam bentuk lintasan yang terpendam. Lintasan yang cukup menengelamkan jiwa yang leka dengan keduniaan.

Tetapi tarbiah yang dianugerahkan dalam bentuk yang maknawi ini sukar untuk ditafsir dengan nafsu di dalam diri. Ianya memerlukan hati tulus dan suci. Ditafsirkan dengan ruh yang dekat dengan penciptanya.

Kekuatan dengan kebergantungan padanya

Resah ini hanya terubat pada kebergantungan pada-Nya. Kebergantungan kepada pencipta sekelian alam.
kebergantungan pada Allah s.w.t.

" Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini." (Al-A'raf : 172)

Makhluk yang diciptakan Allah, zuriat yang datang daripada Allah. Ruh yang wujud kerana Allah. tidak akan lari daripada kesunyian merindukan penciptanya. Walau jasad yang tidak merasainya kerana dosa yang pekat kelam, hanya roh yang merasai panggilan secara terus daripada Allah.

Panggilan secara terus ini adalah amaran Allah kepada kita untuk sentiasa mengingatinya.

Tetapi kita sering lupa. Lupa kerana kita insan. Sesuai dengan an-nisyan yakni pelupa.

Kesunyian yang sering disalah tafsirkan

kesunyian yang melanda sehingga meresahkan jiwa. Ada yang menterjemahkannya kepada kesunyian akibat tidak berteman. Tidak berpunya. Tidak berkasih. kesilapan yang tiada penghujung. Akibatnya, makhluk yang kita cari. Makhluk menjadi sandaran kita.

Pada dasarnya ruh yang merindukan penciptanya, tetapi nafsu yang menjadi temannya.

Kekuatan yang tiada penghujung

Jika mahukan kekuatan, kita perlukan sumber kekuatan. Jika kita mahukan ketenangan kita memerlukan sumber ketenangan. Jika kita kesunyian kita memerlukan pengisi kekosongan. Carilah kekuatan dan ketengangan yang tiada penghujung itu daripada Tuhan pencipta sekelian alam.

Kerana pada-Nya punyai kunci kepada segala permasalahan kehidupan

Bila dosa terbiasa pada diri, kebaikan bagai terasing dari hati, bila dunia memenuhi jiwa,matilah khusyuk pada-NYa





Saturday, August 7, 2010

Resah sebuah pendakian


Pendakian kali ini agak menjemukan saya kerana ini adalah pendakian kali yang ketiga Gunung Tebu. Namun, panorama yang memukau tidak menjemu dan mematahkan semangat saya tambahan minda yang sarat dengan tugasan memerlukan saya membebaskan minda terhadap tugasan tersebut untuk sementara waktu. Seperti sedia kala, saya di taklifkan untuk membawa para mahasiswa daripada UniSZA untuk menawan gunung tersebut.


Namun di sini, saya tidak berminat untuk menceritakan pengalaman secara realiti tentang perihal Gunung Tebu tetapi untuk kesekian kali saya terbawa di dalam minda bertapa sukar dalam keresahan sebuah pendakian
.


Pendakian kami dimulakan dengan doa, daripada titian gantung menyelusuri tebing tinggi Sungai Lata Belatan. Daripada pendakian yang mudah, sehingga ke pendakian yang sedikit sukar. Daripada pendakian yang sedikit sukar, kepada pendakian yang sukar.

Sungai yang teralir perlahan dan deras disusuri melalui batu-batu sungai yang hanyut lama dahulu.

Untuk pertama kali saya tersungkur pada batu tersebut, masakan sebelum ini tidak pernah saya mengalaminya. Namun pada kali ini saya menelan kepahitannya. Sekurang-kurangnya kenangan ini terpahat pada sanubari.

Lutut dan telapak tangan yang membengkak akibat tesungkur sebelumnya tidak mematahkan semangat untuk meneruskan pendakian.

Pendakian diteruskan dengan kesakitan.

Rajau yang berduri

Kehidupan adalah sebuah pendakian. Semua orang mengetahuinya. Tidak siapa menafikannya. Ada yang mengatakan kehidupan adalah perjalanan. Di antara perjalanan dan pendakian, pendakian yang lebih teruji.

Perjalanan hanya menpunyai liku-liku yang sukar dan memeningkan. Kadang kala ada duri-duri yang terhampar yang menyakitkan kaki yang menapak. Sesekali ada simpang yang perlu dipilih bagi menjadi piilihan dalam sebuah perjalanan yang panjang.

Begitu juga pendakian, setiap yang dilalui hampir sama seperti perjalanan. Tidakkah pendakian juga sebuah perjalanan? Tetapi bagaimana perjalanan merupakan sebuah pendakian? Liku-likunya ada, onak duri juga ada terhampar tidak terkecuali simpang yang perlu dipilih juga ada. Namun, pendakian amat memenatkan minda, meletihkan perasaan, meruntuhkan jiwa yang tidak kental. Kerana pendakian adalah PENDAKIAN.

Pendakian menjadikan kita lebih mengenali erti sebuah kehidupan. Sekecil-kecil perkara merupakan sebesar-sebesar perkara di dalam sebuah pendakian. Jika dahulunya kita melihat kayu hanyalah sebatang kayu tidak berharga, tetapi didalam pendakian ianya adalah kayu yang menongkat kita!

Ranjau diteruskan

Selama pendakian, ada yang dapat meneruskan sehingga ke akhirnya, ada yang kecundang di tengah-tengah pendakian. Yang kecundang mereka mempunyai pilihan untuk meneruskan pendakian dimasa akan datang atau terus berputus asa.

Yang memilih untuk meneruskan pendakian pada masa akan datang, mereka yang beruntung. Walaupun pendakian yang seterusnya mereka menanguhkannya di masa akan datang bagi menyediakan mental dan emosi yang secukupnya. Mereka amat bertuah.
Tapi amat malang bagi yang terus berputus asa. Berputus asa dengan pendakian. Berputus asa dengan kehidupan. Tidak hairanlah ada yang menamatkan riwayat sebagai jalan akhir. Kerana kehidupan mereka telah mati!

Meraka yang meneruskan pendakian walau menerima keresahan, kelelahan, kekalahan dan juga keruntuhan jiwa demi melihat kejayaan yang tidak pernah dilihat mereka yang berputus asa. Sesekali mereka berhenti di perhentian bagi mengumpul tenaga dan semangat untuk meneruskan pendakian yang seterusnya. Mereka tidak mengalah, tidak sesekali mengalah! Tetapi mereka mengumpul kekuatan dan mengatur strategi untuk kejayaan yang akan datang.

Ritma kehidupan

Setelah berhenti diperhentian, meneruskan perjalanan dengan semangat yang baru mereka telah mendapat sinergi bagi meneruskan perjalanan yang panjang. Sehingga mereka mula melihat titik-titik kejayaan di dalam pendakian.

Titik kejayaan ditelusuri dengan penuh harapan. Harapan demi harapan. Tika ini tiada lagi yang kecewa dengan pendakian. Kecewa dengan kehidupan kerana pengharapan tersergam di hadapan mereka.

Sehinggalah meraka Berjaya tiba di puncak kejayaan di dalam sebuah pendakian. Kepenatan telah hilang bagai di permulaan. Mereka tidak lagi menoleh ke belakang. Apa yang dilihat hanyalah sebuah kejayaan.

Kejayaan yang tidak dilihat oleh meraka yang berputus asa dan mereka yang menangguhkannya.

Panorama sebuah kejayaan sangat berbeza. Berbeza dengan kesempitan sebuah kekalahan.

Inilah ritma kehidupan yang diterjemah didalam sebuah pendakian.


Kami tiba di puncak kira-kira jam 4.45 petang. 7 jam 15 minit di dalam pendakian.
Bagaimana pula dengan 7 minggu, atau mungkin 7 bulan atau mungkin juga 7 tahun pendakian kehidupan!?


Tahniah Kepada semua peserta xpdc pendakian gunung tebu Kelab Remaja Islam Malaysia kerana telah berjaya menawan Puncak tertinggi di Terengganu!

Saya akhirkan nukilan saya dengan sepotong pesanan ringkas seppu handai saya,


“ Sujud dalam rindu, belahan jiwa diteroka, haruman kasturi cinta, bauan dari luka jiwa, darah dosa hitam pekat mengalir, dibasuh air jernih, perahan dari keinsafan.. Tadahan tangan cinta, meminta pada yang esa, remuk hati, luka jiwa, munnajat kasih meraba cinta… Lidah batin mengadu nasib, dalam lemah menahan pedih, mencari hikmah, memohon hidayah, mengharap kurnia menghapus resah, Oh diri, takkan mahu ku mengalah pada satu keresahan.. “

Sunday, June 27, 2010

Amarah Yang Dibataskan


Kamu cuba permainkan saya!? Jerit saya

Kadang-kadang diberikan amanat menjadi fasilitator sememangnya mencabar.Menimbulkan pelbagai rasa - gembira, sedih, kecewa, marah dan sebagainya. Namun begitu kemarahan tidak saya sentiasa luahkan.

Kesabaran telah sampai memuncak apabila peserta program seolah-seolah tidak mengendahkan segala arahan yang diberikan.

Semua ini telah saya pendamkan sejak daripada pertama kali saya menjejakkan kaki ke resort ini.

“ Ustaz fasilitator ker?” Tanya seorang peserta

Soalannya itu hanya saya mengangguk sahaja. Saya kurang berminat untuk menjawab soalan tersebut. Anggukkan yang diberikan bukan bermakna saya seorang yang sombong, namun perserta pada program kali ini agak berbeza daripada program-program sebelum ini.

Sapaan daripada peserta tersebut seolah-seolah tiada adab-adab yang dijaga. Dilaungkan suaranya hanya dibibir tingkap. Seolah-olah saya adalah kawan mereka.

Ya, sememangnya fasilitator merupakan kawan mereka semasa berprogram. Tetapi tidak bermakna boleh bermain sebagaimana kawan mereka

Permulaan yang biasa

Pada waktu malam itu, saya diminta untuk membawa slot ceramah. Sokongan yang diberikan ketika awal program amat memberangsangkan. Namun, segalanya bermula selepas penatia memaklumkan ada masalah teknikal sehinggakan segala slide show yang telah dilakukan tidak dapat ditayangkan, segala video yang telah disediakan tidak dapat dipertontonkan.

Segala-galanya berubah, segalanya saya perlu mulakan semula. Saya perlu mengolah ayat untuk membentangkan tajuk yang saya takuti dihadapan 50 orang kanak-kanak. Tajuk yang sukar untuk diterjemahkan dalam pemikiran kanak-kanak. Allah Wujud! Show me the right Way

Satu persatu saya olah. Gurauan saya selitkan agar mereka tidak bosan mendengar. Ditambahi dengan masalah teknikal yang saya hadapi, menjadikan saya agak terkejut dan terkelu untuk meluahkan tugasan yang diberikan. Pada awalnya penumpuan agak baik, namun sedikit demi sedikit mereka hilang upaya untuk memberikan penumpuan. Terutama pada peserta lelaki.
Respon mereka agak bagus, namun arahan yang dberikan sukar untuk dihadamkan. Sikap mereka untuk ‘datang bermain’ merajai sanubari.

Kesabaran yang menebal

Hari pertama berlalu dengan hambar, dibauri dengan rasa bersalah kerana tidak dapat memberikan input sepenuhnya. Saya lelapkan mata pada malam itu dengan seribu persoalan.
Hari kedua, pelbagai slot yang yang telah dirancangkan oleh sahabat saya di anugerahkan penumpuan yang baik bagi peserta perempuan, namun tidak pada peserta lelaki. Mereka bagaikan telah mendapat ‘mahkota’ untuk menjadi raja ketika didalam program tersebut. Ibaratkan raja yang agak ego untuk mendengar arahan dan rayuan kami.

Jika semalam saya hanyut dalam kehampaan, tetapi pada kali ini saya semakin tenggelam dengan ‘kepanasan’ dengan sikap mereka. Saya tetap bersabar kerana saya bukan seorang yang cepat meluahkan perasaan marah.

Amaran saya berikan seorang demi seorang, sekadar bisikan bayu lembut yang berbaur tegas ditelinga mereka sebagai ‘peraturan’ untuk mereka ikuti.

Kelegaan timbul melihat ada yang sedikit terkesan dengan bisikan bayu tersebut. Pada masa yang sama, masih ada yang seolah-olah sedang menantikan ribut disebalik bisikan bayu tersebut. Yang menginginkan ribut, sesekali bayu kencang saya susuli sebagai amaran yang sedikit keras.

Ketuk ketampi mereka hadamkan.

Saya masih sabar.

Ribut sebenar melanda

Sewaktu minum petang, saya diminta oleh urus setia untuk mengagihkan makan berdasarkan kumpulan.

“Semua kumpulan, berkumpul dihadapan saya!” saya melaung.

Hanya beberapa orang sahaja yang betul-betul berada dihadapan saya. Saya masih sabar.
Laungan kedua disusuli dengan kiraan “ 10, 9, 8, 7,5,….. 1!” laungan menggunakan pembesar suara.

Keadaannya masih sama, malah ada yang sedang ‘bermain-main’ dengan saya.
Pada petang itu saya agak teruji.

Akhirnya, Ribut sebenar melanda!

“Kamu semua berkumpul dihadapan saya!” Pekik saya

Kamu cuba permainkan saya!? Saya menambah.

Semua terdiam dan terpaku dan akhirnya pada petang itu juga semua merasa kesan menantikan ribut yang sebenar.

Mereka tidak menjangka barangkali, angin sepoi-sepoi bahasa bias menjadi sekuat taufan
Bukan ini yang saya mahukan, sedaya upaya saya saya menggelakkan untuk mendenda mereka dengan emosi saya. Jika dengan emosi saya, bukan sekadar ketuk ketampi yang mereka kena, malah lebih daripada itu.

“ Ustaz mintak maaf, bukan ini yang ustaz mahukan tetapi untuk kebaikan adik-adik.” Di dalam hati saya berbisik

Sambil Memekik, bibir saya mengeletar menahan amarah yang sebenar. Kemarahan sebenar disimpan agar tidak mereka merasakan kesan. Saya bimbang, sekiranya kemarahan sebenar yang diluahkan, dendam yang dihulurkan. Semoga Allah memaafkan saya.

Ketenangan selepas ribut

Ribut pada petang itu akhirnya membuahkan hasil. Sesekali ada peserta yang menyapa saya seolah-olah ingin ‘berbaik semula’ atas kesalahan yang mereka lakukan.

Meminta maaf dalam maksud yang maknawi barangkali.

Saya tidak marahkan mereka, tetapi menegur sikap mereka.

Pada kebiasaannya, denda saya jadikan pilihan akhir. Banyak pantang yang saya dahulukan sebelum mendenda dan menghukum. Ketika saya kepenatan, saya akan menggelakkan diri dari menghukum. Kebimbangan emosi melebihi daripada sepatutnya saya dahulukan.

Antara lain, saya akan menggunakan jalan yang lebih lembut dalam menasihat. Pernah satu ketika, dimana salah seorang pelajar tuisyen saya memaki cikgu mereka.

Jika ingin mendenda mereka, rotan dan ketuk ketampi bukan jalan yang bagus. Dendam yang diterjemahkan. Dengan menggunakan pendekatan menasihat, perlahan-lahan saya membuka minda dia dan akhirnya, air mata dan kemaafan pada cikgunya di luahkan. Saya lega.

Antara lainnya lagi, saya menggunakan konsep ‘kesalahan kamu, kamu patut hadapi kesannya’. Jika pelajar-pelajar saya, mereka akan lebih sedar akan kesalahan yang mereka lakukan.

Apa yang saya lakukan saya tidak suka menggunakan emosi untuk meluahkan, kerana kesannya amat mendalam.

Saturday, April 10, 2010

Pantai Batu Buruk : Ibrah daripada usrah



kita mulakan majlis dengan umul kitab Al-Fatihah..” Pengerusi majlis memulakan majlis usrah

“Bissmillahirahmanirrahim.. Alhamdulillah…. Saya menyatakan rasa syukur kerana dengan rahmat dan kasih sayang-Nya kita dapat bersama di dalam usrah pada kali ini walau ada yang baru sahaja pulang daripada kerja” Naqib memulakan bicara.
Usrah yang diadakan pada kali ini agak lewat daripada biasa. Jam menunjukkan 1.00 pagi. Namun kehadiran usrah pada kali ini adalah sangat luar daripada jangkaan. Satu fenomena yang amat luat biasa.

Tempat usrah juga pada kali ini agak janggal dan mungkin tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kumpulan usrah yang lain. Di pantai Batu Buruk.

Pada awal usrah, kami memulakan dengan bacaan mathurat. Mungkin ada yang dijangkiti dengan sindrom menguap. Mengantuk barangkali. saya pula cuba mengukir sebuah senyuman, mana tidaknya dalam hati saya bermonolog “ apa agaknya anak-anak muda yang berada di sekitar batu buruk ini fikir tentang kami yang membaca zikir tengah-tengah malam, tambahan pula di tengah-tengah taman di Pantai Batu Buruk”. Memang agak janggal. Apa-apa pun ini adalah pengalaman.

Setelah selesai membacakan mathurat, kami diminta membentangkan teks usrah yang bertajuk usrah dan matlamat. Seorang demi seorang diminta untuk membentangkan. Jika tadi, suasana menguap dapat diperhatikan, kali ini gelak tawa kecil kami ulitkan. Masakan tidak, ada yang membentang seperti khatib membacakan teks khutbah jumaat, ada yang membentang dalam keadaan suara pagi dan sebagainya.

Terharu

Walaupun agak lama saya tidak mengikuti usrah sepenuhnya sebelum ini, mungkin
sebelum ini saya mengikut usrah pemuda kampung yang di buat satu bulan sekali.
Perasaan terharu mulai timbul sedikit demi sedikit.

Makin bersama dengan usrah kali ini makin saya rasa dekat dengan mereka.
Sengaja sebelum ini saya menawarkan diri untuk menyertai kumpulan yang boleh dikatakan ‘hardcore’. Jika dilihat secara zahir, agak sukar untuk mereka bersama-sama di dalam usrah tersebut.

Tetapi semua itu adalah sangkaan.

Pernah beberapa kali saya dinasihatkan oleh beberapa orang untuk memecahkan kumpulan ‘hardcore’ ini memandangkan saya adalah ketua unit usrah. Jadi hak untuk membentuk kumpulan adalah berada ditangan ahli mesyuarat saya.

Jika disebelah pelajar perempuan, kami telah menggunakan borang soal selidik bagi memecahkan mereka kepada beberapa kumpulan mengikut pemikiran. Namun, bagi pelajar lelaki kaedah ‘istimewa’ kami gunakan. kami memecahkan berdasarkan kepada geng-geng tujuannya tidak lain, kerana ingin memastikan usrah itu lebih mudah untuk dilakukan.

Mungkin agak diskriminasi kerana tidak memecahkan kumpulan tradisi tersebut kepada kumpulan-kumpulan yang lain, tetapi bermatlamatkan untuk memastikan mereka terus bersama usrah, saya tetap berdegil.

Hati saya tersentuh, apa tidaknya walaupun ahli kumpulan ini mempunyai kerja-kerja masing, mempunyai ‘kehidupan’ masing-masing. Ada yang ingin menyiapkan tugasan, ada yang bekerja sehingga larut malam bagi mencari kewangan untuk menampung pelajaran. Namun semangat yang mereka miliki untuk bersama ahli kumpulan usrah, menjadikan hati saya tersentuh.

Apa tidaknya, jika ingin keluar daripada asrama mereka untuk ke Pantai Batu Buruk mengambil masa kira-kira 30 minit, tambahan di tengah malam, hati saya cukup terharu dengan komitmen mereka. Usrah tidak terlalu lama, kira-kira satu jam sahaja. jika difikirkan secara logik, mungkin agak tidak berbaloi untuk mereka semata-mata menghadirkan usrah ketika itu. tetapi itulah pengorbanan yang mereka lakukan.

Nikmat yang sedikit demi sedikit yang Allah berikan kepada orang yang ikhlas dijalannya memberikan seribu makna dan sukar untuk ditafsirkan oleh kata. Nikmat itu antaranya nikmat berukhuwwah.

Firman Allah dalam surah Al-Imran Ayat 103

"kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. "

Firman Allah di dalam ayat diatas, jelas mengenai nikmat islam yang menjadikan kita terus berukhuwwah. Usrah adalah keluarga, pengertian dalam bahasa arab pun telah bermakna keluarga. Jadi ikatan yang ada sedikit demi sedikit membawa kita kepada pengertian usrah yang lebih mendalam iaitu persaudaraan islam. Persaudaraan yang tiada pada agama lain.

Semoga nikmat yang diberikan ini menjadi suatu ikatan yang Abadan abada kepada kami. Islam Itu persaudaraan

“sama-sama kita menutup majlis dengan tasbih kafarah dan suratul al-a’sr” Pengerusi Majlis menutup majlis yang cukup istimewa pada malam itu.