Saturday, April 10, 2010

Pantai Batu Buruk : Ibrah daripada usrah



kita mulakan majlis dengan umul kitab Al-Fatihah..” Pengerusi majlis memulakan majlis usrah

“Bissmillahirahmanirrahim.. Alhamdulillah…. Saya menyatakan rasa syukur kerana dengan rahmat dan kasih sayang-Nya kita dapat bersama di dalam usrah pada kali ini walau ada yang baru sahaja pulang daripada kerja” Naqib memulakan bicara.
Usrah yang diadakan pada kali ini agak lewat daripada biasa. Jam menunjukkan 1.00 pagi. Namun kehadiran usrah pada kali ini adalah sangat luar daripada jangkaan. Satu fenomena yang amat luat biasa.

Tempat usrah juga pada kali ini agak janggal dan mungkin tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kumpulan usrah yang lain. Di pantai Batu Buruk.

Pada awal usrah, kami memulakan dengan bacaan mathurat. Mungkin ada yang dijangkiti dengan sindrom menguap. Mengantuk barangkali. saya pula cuba mengukir sebuah senyuman, mana tidaknya dalam hati saya bermonolog “ apa agaknya anak-anak muda yang berada di sekitar batu buruk ini fikir tentang kami yang membaca zikir tengah-tengah malam, tambahan pula di tengah-tengah taman di Pantai Batu Buruk”. Memang agak janggal. Apa-apa pun ini adalah pengalaman.

Setelah selesai membacakan mathurat, kami diminta membentangkan teks usrah yang bertajuk usrah dan matlamat. Seorang demi seorang diminta untuk membentangkan. Jika tadi, suasana menguap dapat diperhatikan, kali ini gelak tawa kecil kami ulitkan. Masakan tidak, ada yang membentang seperti khatib membacakan teks khutbah jumaat, ada yang membentang dalam keadaan suara pagi dan sebagainya.

Terharu

Walaupun agak lama saya tidak mengikuti usrah sepenuhnya sebelum ini, mungkin
sebelum ini saya mengikut usrah pemuda kampung yang di buat satu bulan sekali.
Perasaan terharu mulai timbul sedikit demi sedikit.

Makin bersama dengan usrah kali ini makin saya rasa dekat dengan mereka.
Sengaja sebelum ini saya menawarkan diri untuk menyertai kumpulan yang boleh dikatakan ‘hardcore’. Jika dilihat secara zahir, agak sukar untuk mereka bersama-sama di dalam usrah tersebut.

Tetapi semua itu adalah sangkaan.

Pernah beberapa kali saya dinasihatkan oleh beberapa orang untuk memecahkan kumpulan ‘hardcore’ ini memandangkan saya adalah ketua unit usrah. Jadi hak untuk membentuk kumpulan adalah berada ditangan ahli mesyuarat saya.

Jika disebelah pelajar perempuan, kami telah menggunakan borang soal selidik bagi memecahkan mereka kepada beberapa kumpulan mengikut pemikiran. Namun, bagi pelajar lelaki kaedah ‘istimewa’ kami gunakan. kami memecahkan berdasarkan kepada geng-geng tujuannya tidak lain, kerana ingin memastikan usrah itu lebih mudah untuk dilakukan.

Mungkin agak diskriminasi kerana tidak memecahkan kumpulan tradisi tersebut kepada kumpulan-kumpulan yang lain, tetapi bermatlamatkan untuk memastikan mereka terus bersama usrah, saya tetap berdegil.

Hati saya tersentuh, apa tidaknya walaupun ahli kumpulan ini mempunyai kerja-kerja masing, mempunyai ‘kehidupan’ masing-masing. Ada yang ingin menyiapkan tugasan, ada yang bekerja sehingga larut malam bagi mencari kewangan untuk menampung pelajaran. Namun semangat yang mereka miliki untuk bersama ahli kumpulan usrah, menjadikan hati saya tersentuh.

Apa tidaknya, jika ingin keluar daripada asrama mereka untuk ke Pantai Batu Buruk mengambil masa kira-kira 30 minit, tambahan di tengah malam, hati saya cukup terharu dengan komitmen mereka. Usrah tidak terlalu lama, kira-kira satu jam sahaja. jika difikirkan secara logik, mungkin agak tidak berbaloi untuk mereka semata-mata menghadirkan usrah ketika itu. tetapi itulah pengorbanan yang mereka lakukan.

Nikmat yang sedikit demi sedikit yang Allah berikan kepada orang yang ikhlas dijalannya memberikan seribu makna dan sukar untuk ditafsirkan oleh kata. Nikmat itu antaranya nikmat berukhuwwah.

Firman Allah dalam surah Al-Imran Ayat 103

"kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. "

Firman Allah di dalam ayat diatas, jelas mengenai nikmat islam yang menjadikan kita terus berukhuwwah. Usrah adalah keluarga, pengertian dalam bahasa arab pun telah bermakna keluarga. Jadi ikatan yang ada sedikit demi sedikit membawa kita kepada pengertian usrah yang lebih mendalam iaitu persaudaraan islam. Persaudaraan yang tiada pada agama lain.

Semoga nikmat yang diberikan ini menjadi suatu ikatan yang Abadan abada kepada kami. Islam Itu persaudaraan

“sama-sama kita menutup majlis dengan tasbih kafarah dan suratul al-a’sr” Pengerusi Majlis menutup majlis yang cukup istimewa pada malam itu.


Friday, March 12, 2010

Tasauf yang disalah ertikan


Sewaktu sedang mengemaskan bilik pada suatu malam, saya telah menerima panggilan seorang sahabat seperjuangan ketika berada di Politeknik dahulu.

Panggilan tersebut bertujuan untuk bertanyakan mesyuarat yang akan diadakan akan datang. Perbualan bersama beliau berlanjutan kepada persoalan-persoalan mengenai zikir-zikir dan persoalan tasauf.


Resah

" Ana nak tanya enta sedikit, ada orang cakap pada, ana ada benda yang berdamping dengan ana daripada zikir yang ana pernah amalkan dahulu" Beliau bercerita.

beliau menambah, " Ana amalkan zikir-zikir masa jahil dulu, orang bagi kita zikir, kita mana tau"


Saya bermonolog, " jin agaknya"

Saya menjawab " ana bukan orang yang alim dalam bab ni, tetapi bagi ana semua zikir itu kena ikut salasilah Rasulullah, kena ada pertalian dengan Rasulullah s.a.w"

Ini bukan pertama kali yang saya dengar, malah ketika berada di Politeknik dahulu juga ada yang mengamalkan zikir-zikir seperti ini.

Zikir-zikir yang diamalkan, kita tidak tahu dari mana asal usul zikir tersebut, malah tiada di dalam mana-mana hadith dhoif, apatah lagi hadith sahih, boleh membawa kepada syirik. Mana tidaknya, pelbagai nama, benda, malah apa jua di seru di dalam zikir tersebut.

Jika di zaman jahiliah masyarakat menyembah berhala, tetapi di zaman kemelayuan, masyarakat melayu lebih mempercayai zikir-zikir yang sesat. Sedangkan pada asalnya zikir adalah untuk mengingati Allah.

Tariqat yang tidak jelas asal-usul

Jika ingin terokai, banyak tariqat yang umumnya pada sekarang ini tidak terkira banyaknya. Ada yang jika ditelusuri mengikuti jalan sebenar yakni bertepatan dengan salasilah zikir Rasulullah s.a.w. Tetapi perlu diingat, disana ada zikir yang langsung jauh menyimpang dengan apa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w

Saya tidak pernah terfikir untuk mencuba zikir-zikir yang diamalkan, bukan kerana tidak mempercayainya, tetapi bimbang dengan apa yang ada sekarang. Apa yang ada sekarang sangat meragukan.

Apa yang menjadi amalan saya seharian, zikir-zikir yang muktabar dan ma'thur. Yakni yang jelas ada hadith-hadith sahih dan diamalkan oleh ulama'-lama' muktabar. Setidak-tidaknya jalan ini lebih terjamin.

Ada yang lebih penting.

Di sana masih ada perkara yang lebih penting yang menjadi kewajipan. Bukan bermakna saya menidakkan zikir-zikir untuk ke jalan tasauf ini. Cuba kita bayangkan kita berzikir sehingga beribu-beribu dalam satu hari, tetapi solat kita masih tidak sempurna. Solat masih ada cacat cela. Kerana ilmu tentang solat masih berkurang. Kita semua tahu, apabila menyebut tentang solat, bermakna solat perlu bertepatan dengan solat rasulullah.

Sebagaimana hadith di atas, kita sedar solat yang dilakukan perlu ada pertalian dengan solat Rasulullah. Para sahabat, tabi'en, tabi' tabi'en dan seterusnya telah meriwayatkan cara solat Rasulullah s.a.w.

Para imam-imam muktabar ini telah mengajarkan kita solat Rasulullah s.a.w, antaranya imam As-syafi'e, Imam Malik, Imam Hambali dan lain-lain. Sekiranya kita betul-betul mendalami ijtihad para imam muktabar ini, disana kita akan lihat bahawa setiap pergerakan, bacaan dan perbuatan di dalam solat daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara, daripada Allahu akbar sehingga kepada salam yang terakhir semuanya ada pertalian dengan solat Rasulullah s.a.w.

Tetapi, sekiranya didalam solat kita telah pun ada kecacatan yang menghubungkan diantara solat kita dengan apa yang telah diajarkan oleh imam-imam muktabar tersebut, bermakna solat kita sama sekali telah terputus daripada solat Rasulullah s.a.w.

Jadi dimana hubungan pertalian solat kita dan Rasulullah sekiranya ilmu ini tidak ada? sehubungan dengan itu, wajarkah kita mendahulukan perkara yang hanya menjadi sunat dan tidak mendahulukan perkara wajib? Di sini saya hanya menyebut tentang solat, bagaimana pula dengan puasa, zakat, dan haji?

Apakah tujuan sebenar tasauf?

Teringat kembali kepada seorang ustaz yang agak terkenal ditempat saya. Jika dahulu dia merupakan seorang yang agak hebat dengan penghuraian dalam ilmu fekah, suaranya kedengaran dibanyak tempat di surau-surau.

Baru-baru ini, saya telah dikejutkan dengan berita beliau mendalami zikir-zikir tasauf. Tasaauf tidak salah, tetapi apa yang dilakukan agak menyalahi. Zikirnya kadang-kadang mengunakan pembesar suara sehinggakan boleh menimbulkan tanda tanya pada orang lain.

Mungkin apa yang menyedihkan lagi apabila tujuan sebenar mereka ini mengikuti jalan tasauf, bukan kerana ingin membersihkan hati, tetapi bagi mendapat ilmu-ilmu kasyaf.

Mungkin untuk tujuan berjalan diatas air barangkali.

Di mana keikhlasan sebenar hati dalam mencari keredhaan ilahi? Keredhaan Allah yang ditagih, atau ilmu-ilmu laduni yang ingin dicari?




Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sekiranya cinta yang dicari, tetapi jalan tidak menepati jalan Rasulullah s.a.w bagaimana mungkin untuk kita mendapat cinta Allah?

Di sini tidak bermakna saya monolak jalan tasauf, tetapi sekadar ingin membawa kepada suatu alam realiti. Zaman yang sedang kita lalui ini, adalah zaman yang teramat jauh dengan yang pernah dilalui oleh Sahabat. Zaman yang penuh dengan kemungkaran dan kesesatan. saya bimbang sekiranya jalan yang diambil tidak ada sanad yang jelas menjadikan kita menyimpang.

Jika para sahabat dahulu mempunyai kemusykilan dalam beragama, terus dirujuk kepada Rasulullah s.a.w. Tetapi, tiada Rasulullah di sisi kita. Apa yang tinggal hanyalah sebuah Kitab Agung dan Sunah-sunahnya sebagai rujukan kita. Jika kedua-dua panduan ini tidak manfaatkan, bagaimana kita akan menelusuri jalan sebenar?

Ya Allah, jagalah diriku dan jagalah umat ini daripada jalan kesesatan.



Sunday, February 28, 2010

Hakikat sebenar diri


Terbaring saya selepas menunaikan tuntutan kerohanian pada dingin pagi.

Dalam merasai setiap helaan nafas yang dihembus, fikiran melayang dibuai setiap palit-palit dosa yang pernah menjadi teman.

Jiwa meronta sambil bermonolog, “ alangkah baiknya sekiranya aku dilahirkan semula, atau alangkah baiknya sekiranya aku diberikan peluang kedua untuk mendapatkan cinta Allah tanpa ada seberang palitan yang merosakan hati saya”


Tetapi saya sedar, semua itu tidak akan berlaku, semua itu tidak akan kembali. Semua itu tidak seperti yang saya inginkan. Namun diri ini tetap bersyukur kerana diri ini adalah seperti sekarang.

Sekiranya tiada saya dahulu, bermakna mungkin tiada juga saya seperti sekarang. Ujian dan dosa saya yang terungkap didalam kenangan, menjadi sebuah perjalanan yang panjang untuk saya berubah, dan terus berubah. Menjadikan saya lebih tabah dan lebih mengenali hakikat penciptaan.

Syukur yang tidak terhingga kerana Allah telah ketemukan saya dengan jalan ini. Allah telah mengembalikan saya kepada-Nya. Setidak-tidaknya, palitan-palitan ini mampu diubati.

Saya sedar, bukan semua palitan-palitan dosa ini boleh diubati. Namun harus saya mencari jalan untuk mencapai keredhaanNya.

Helaan nafas saya teruskan sehingga tidak says sedar, telah mencurahkan air mata yang amat sukar untuk saya curahkan.

Hati mula meratapi, adakah tangisan ini dek kerana diri sendiri atau ianya timbul diatas kasihNya. Tangisan banyak terhalang kerana palitan luka yang tidak diubati.

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kemaafan daripada MU diatas segala dosa yang dilakukan, sungguhpun ku mengerti setiap yang ku lakukan banyak merosakkan hati dan jiwaku. Ampunilah segala dosa-dosa diri ini.



Wednesday, February 17, 2010

KADER : Kenangan yang terlukis



Ketika bermesyuarat agung, tiba-tiba sekeping sms menjengah. Nombornya masih baru, tidak saya kenali. Namu, diakhir pesanan ringkas itu, terselit nama yang cukup saya kenali semasa program baru-baru ini.


Smsnya biasa-biasa sahaja, tetapi apa yang membuatkan fikiran saya kembali dengan program yang telah saya ikuti 2 hari sebelum itu. Mungkin agak terlewat untuk menukirkan kenangan di sini, namu diri agak kepenatan dek kerana banyak perkara perlu diselesaikan selepas program.





Apa tidaknya, ada yang kena bermandi lumpur, ada yang berikrar suara rokers, ada yang terpaksa jadi mumia, ada pula yang kena jadi labah-labah.


Tapi begitulah hakikat program. setiap program ada objektifnya yang tersendiri. Objektif menjadi matlamat kepada kami dalam pembentukan adik-adik. Matlamat yang akan memastikan halatuju kita. Jadi, kami bersama memimpin tangan adik-adik dalam menempuh matlamat tersebut.



Segalanya telah tersedia, jalannya telah kami tunjukan, hanya yang tinggal adalah untuk mereka lalui. Semoga program yang dilalui ini menjadi pemangkin untuk adik-adik memulakan langkah.

Semoga berjumpa lagi, salam ukhuwwah fillah buat Kem Pengkaderan Remaja Islam ( Lepasan SPM ) Semoga ilmu yang diberikan dimanfaatkan.



Ila liqa'...



Sunday, February 7, 2010

Ketakutan yang mula merajai


Akhir-akhir ini saya sering terlayang dibawa fantasi sebuah masa depan yang mungkin ya atau mungkin tidak saya lalui. Tetapi Fantasi tersebut sangat menakutkan saya. Di mana diri saya yang lebih sukakan cabaran, tekanan dan sebagainya. Kerana itu semua lebih mencabar kemampuan diri saya.

Namun, pada masa akan datang saya bimbang tiba masa suatu ketika saya mungkin akan dibawa arus kehidupan. Apa yang dibayangkan adalah sebuah kehidupan yang terlalu biasa, waktu pagi pergi kerja, pulang dari kerja bersama anak-anak dan isteri.

Kehidupan selama 24 jam, 7 hari seminggu. Cuba dibayangkan, kehidupan sebegini berlanjutan selama 10 tahun atau mungkin sampai mati!

Tiada apa yang dilakukan, mungkin bagi yang biasa dan menginginkan kehidupan sebegini, bagi mereka terlalu biasa dan tiada apa-apa.

Tetapi bagi diri saya, ianya seperti pisau yang menikam jiwa yang amat menyakitkan. Walaupun tika ini, terlalu banyak keputusan yang saya lakukan telah mencabar diri saya, namun begitu masih timbul keadaan saya terlalu mengikut suasana, sehinggakan suasana telah banyak mengubah saya. Tidak ada masalah sekiranya mengubah kepada positif, tetapi yang merisaukan kepada negatif!

Namun begitu, apa yang saya doakan, perkara ini tidak berlanjutan, agar ianya tidak menghimpit diri saya. Muslim yang baik adalah hari ini lebih baik daripada semalam. Setiap hari kita perlu mencipta suasana baru agar kita tidak mengikut arus yang dicipta oleh orang lain.


Wednesday, February 3, 2010

Semoga Rohnya Dirahmati

Dalam Kenangan

Al-Fatihah buat Allahyarhamah Puan Nailah, Pegawai kewangan Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 9.45 malam semalam.

Beliau merupakan Staf dan ibunda kepada kami semasa hayat beliau. Beliau sering memberi nasihat yang menjadi penyuluh kepada saya khususnya dan kepada sahabat-sahabat yang lain.

Beliau telah menderita sakit barah kira-kira 3 bulan yang lepas yang mana penyakitnya telah merebak kepada tulang belakang yang menyebabkan beliau lumpuh separuh badan. Pada 2 Februari 2010 beliau telah tidak sedarkan diri sehingga ke akhir hayat beliau.

Semoga Rohnya dicucuri Rahmat Oleh Allah s.w.t

Sunday, January 31, 2010

Susahnya nak cari muslimat yang kuat agama


Ketika saya melayari web popular iluvislam.com, sempat saya menjengah tajuk perbincangan yang mungkin menarik kita semua. Susahnya nak cari muslimat kuat agama.

Tajuknya mungkin seperti sebuah rungutan. Mungkin bagi yang memulakan tajuk ini, memandang pada dunia sekarang barangkali. Rungutan yang mungkin timbul tatkala beliau melihat keadaan wanita sekarang. Rungutan sedemikian mungkin bukan sekadar muslimin sahaja, juga muslimat yang mengungkapkan ungkapan seperti diatas.


Rungutan tersebut mungkin tepat. Jika dilihat keadaan sekarang, mungkin sangat sukar untuk mencari muslimat-muslimat atau muslimin-muslimin yang seperti itu. Yang kuat agamanya, yang beriman, yang ikhlas dijalan Allah dan pelbagai lagi krateria yang memenuhi kehendak islam yang sebenar.

Namun, pada hakikatnya mereka-mereka ini masih wujud dan sedang berada disekeliling kita sekarang. Mungkin kita tidak sedari kerana ukuran baik dari pandangan iman dan islam hanya Allah sahaja yang mampu menentukan. Mungkin pada kaca mata kita, ukuran tersebut hanya pada zahir berdasarkan kesucian dan ketulusan hati kerana hati yang bersih membentuk peribadi yang mulia.

Susahnya untuk mencari

Sememangnya tidak diakui terlalu sukar untuk mencari seorang yang dikatakan ikhlas dijalan Allah. Sehinggakan respon yang telah diberikan berdasarkan tajuk diatas amat tidak senang di dengar. Ada yang mengatakan, walau bertudung labuh dan berkopiah tetapi akhlaknya ketika mana bertudung labuh dan berkopiah sahaja. Bermakna, iman dan ikhlas mereka hanya pada pemakaian sahaja. Ini mungkin pandangan kita kepada mereka ini.

Untuk mencari yang kuat agamanya tidak sesukar yang disangka. Masih ada tips dan caranya. What you give you get back. Selalu kita dengari lagu yang dinyanyikan oleh scorpion seki
tar tahun 1995. Apa yang kita berikan, kita akan dapatnya semula. Bagaimana perkara ini boleh dikaitkan dengan mencari muslimat?

Jawapanya mudah, kita mahukan yang beriman kita yang perlu beriman terlebih dahulu. Pernahkah dengar ungkapan jika inginkan siti Fatimah kita perlu menjadi saidina Ali. Jika dilihat keperibadian siti Fatimah sangat mulia dan sangat agung sebagai ana kesayangan Rasulullah s.a.w. dan amat sesuai apabila dipadankan dengan insan agung Saidina Ali r.a.

Kita pula bagaimana? Jodoh yang datang adalah yang sesuai dengan diri kita. Sesuai dengan keserasian diri kita. Keserasian itu bukanlah melalui ukuran kita, tetapi melalui ukuran yang diukur sendiri oleh Allah. Kita sering mengukur, muslimat ni bagus sangat, solat tidak tinggal, solat sunat dibuatnya, selalu mengaji quran dan sebagainya. Setelah di ukur keserasian kita dan dia, hampir sama tetapi masih tidak dijodohkan dengan dia. Kenapakah ini semua berlaku?

Di sinilah timbul jawapannya, ukuran keserasian adalah milik Allah. Jodoh dan pertemuan adalah milik Allah. Semua ini adalah ketentuan. Seharusnya kita redha. Sekiranya yang diinginkan adalah baik, beriman dan sebagainya, tetapi yang datang tidak seperti itu. Redha dan bentuklah dia menjadi baik dan beriman. Sekiranya di anugerahkan seperti yang di inginkan, bersyukur dan bersedialah, kerana langit tidak selalu cerah.

Oleh itu, jawapan pada sebuah pencarian isteri yang solehah kayu ukurnya ada pada diri kita. Apa yang penting kita laksanakan tanggung jawab pada Allah dan dengan izin Allah semuanya akan dituruti sesuai dengan diri kita.