Thursday, December 17, 2009

Apakah kita telah matang?



Terpanggil saya untuk mengulas mengenai matang kerana kala ini isu kematangan hangat diperkatakan dalam ‘media tidak rasmi’. Saya juga telah mengupas isu ini di dalam Laman Web Iluvislam.com berdasarkan pertanyaan forumer mengenai “Kenapakah remaja sekarang tidak matang”.

Sebelum saya memulakan, ada baiknya kita selidiki terlebih dahulu apakah yang dikatakan kematangan ini. Kematangan boleh diringkaskan sebagai seseorang yang mampu mengawal emosi dan perasaan di dalam diri mereka. Ini adalah view yang paling mudah untuk difahami. Ringkas dan padat

Jadi bagi meneruskan lagi perbincangan mengenai kematangan, sama-sama kita lihat bagaimanakah seseorang itu dianggap matang? Jika dilihat melalui view di atas, taksiran kematangan tidak sahaja spesifik kepada remaja sahaja, tetapi juga kepada semua peringkat umur. Kerana setiap daripada kita mempunyai emosi dan perasaan.


Apa yang membezakan diantara remaja dan dewasa hanyalah cabaran pada peringkat umur masing-masing dan pengalaman yang dilaluinya. Sebagai contoh, diperingkat remaja mungkin kita melalui zaman persekolahan, zaman percintaan dan sebagainya. Di peringkat dewasa pula kita melalui zaman pekerjaan, zaman perkahwinan dan sebagainya. Jika diambil kira kedua-dua zaman ini, sudah tentu dan seharusnya pengalaman juga berbeza. Jadi, dengan pengalaman yang berbeza inilah menjadikan kematangan kita berbeza dan sukar di ukur.

Melalui pengalaman, kematangan akan bertambah mengikut keadaan dan situasi. Tetapi perlu di ingat, bukan semua orang menjadi matang dengan pengalaman yang dilaluinya. Ianya hanya bagi sesiapa yang belajar dari pengalaman sahaja yang akan meningkatkan kematangannya.

Remaja dahulu dan sekarang, pengalaman mereka yang membezakan kematangan kedua-dua zaman ini. Remaja zaman dahulu lebih terdedah kepada situasi yang memerlukan mereka mematangkan diri. Sebagai contoh, mereka perlu menjaga adik-adik mereka ketika ibu dan bapa membanting tulang. Mereka perlu memerah keringat hanya untuk mendapatkan duit 10sen sebagai bekal ke sekolah. Mereka di asuh sekurang-kurangnya khatam al-quran sebagai bekal ilmu agama. Jadi dengan pengalaman-pengalaman inilah mereka lebih matang dalam menentukan jalan hidup mereka.

Remaja zaman sekarang pula, mereka lebih bebas untuk memilih jalan hidup sendiri. Saya tidak ingin sebutkan apa dan kenapa, cukuplah sekadar kita melihat apa yang berlaku sekarang. Dan disini juga saya tegaskan, bukan semua remaja sekarang yang mengamalkan cara hidup mereka sendiri, masih ada yang mengekalkan cara hidup 'remaja dahulu' didalam dunia sekarang. Saya mengagumi mereka. Cukup mengagumi!

Faktor keagamaan juga memainkan peranan yang penting. Agama adalah bersifat pendinding, remaja yang mendekatkan diri mereka kepada agama islam dengan sendirinya mereka mempunyai benteng pertahanan untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah. Semakin mereka ini mendalami ilmu agama, semakin menjadikan mereka lebih matang. Pernah anda melihat atau terbaca seorang kanak-kanak yang petah tuturnya dalam keagamaan dan isu semasa sedangkan beliau baru sahaja mencecah 5 tahun? Ataupun ulama' dahulu yang telah pun menjadi mufti walaupun baru sahaja mencecah umur belasan tahun? Tetapi sekadar menuntut tanpa mengamalkan apa yang dituntut itu tidak memadai, kerana islam berdiri diatas penghayatan ilmu itu sendiri, ilmu tanpa amalan, menjadikan kita kaku. Amalan tanpa ilmu menjadikan kita zalim. Ilmu dengan amalan akan menjadikan kita lebih menghayati islam itu sendiri. Jadi, apakah pilihan kita?

Selain itu, dengan diberikan tanggung jawab juga boleh menjadikan seseorang itu menjadi matang. Semakin berat sesuatu tanggung jawab yang dipikul, semakin menjadi matang seseorang itu. Dengan tanggung jawab, kita akan lebih terdedah untuk berfikir secara mendalam. Apabila fikiran sentiasa berfikir, secara automatik emosi yang berlebihan akan hilang dan seterusnya manjadikan minda kita lebih terbuka dan matang. Sekiranya emosi yang mengawal diri, secara jelas akan terzahir ketidakmatangan diri kita.

Ada yang mengatakan kapel di usia muda ini adalah matang. Bagi saya itu tidak sebenar-benar matang. Kematangan adalah dapat mengawal emosi dan perasaan. Cinta adalah perasaan. Untuk menjadi matang seseorang itu perlu tahu dimana letaknya diri mereka.

Sebagai contoh, mereka sekarang sedang belajar disekolah, diri mereka berada di alam persekolahan. Jadi kematangan mereka sepatutnya berada di tahap zaman persekolahan. Mungkin ada yang kata itu kematangan sebelum usia. Pada pendapat saya, kematangan sebelum usia ini adalah melibatkan soal penentuan identiti diri seseorang itu. Jika terlebih matang identiti dan personaliti akan berubah mengikut kematangan.

Sebagai contoh, seorang pelajar itu berumur 15 tahun tetapi tahap pemikiran dia pada umur 24 tahun. Jika diambil kira zaman sekarang, umur 24 tahun adalah umur yang sesuai untuk berkahwin. Adakah bagi mereka yang berumur 15 tahun ini sesuai untuk berkahwin dizaman sekarang? Sedangkan pada ketika itu tanggung jawab mereka pada pelajaran. Minda mereka sepatutnya sarat dengan ilmu dan pelajaran. Saya tidak maksudkan ini bagi mereka yang telah bersedia untuk berkahwin. Bagi mereka yang betul bersedia untuk berkahwin walaupun baru sahaja mencecah 15 tahun, Why not?

Di sini kematangan mengikut usia ini ditentukan berdasarkan 'where we are' bila persoalan dimana kita berada timbul, secara tidak langsung akan timbul persoalan 'What shall we do'. Apa yang perlu dilakukan pada ketika usia itu.

Perkara ini juga sama bagi mereka yang tidak matang mengikut usia, bila umur mencecah 29 tahun sebagai contohnya, tetapi emosi dan perasaan masih lagi berada dibawah daripada umur mereka, akan timbul identiti kebudak-budakan. Jadi penentuan kepada kematangan sebelum atau selepas usia adalah berdasarkan dimana kita berada dan apa yang patut kita buat sekarang. Kesimpulannya jadilah diri kita diusia kita. Simple...kan?

Pelbagai faktor yang akan menjadikan kita seorang yang matang. Dengan diri yang matang, kita akan lebih terpandu dan tidak dikawal oleh emosi dan perasaan yang membuta tuli. Untuk itu, jadilah matang di usia kita dalam meniti usia yang mencabar. Insyaallah saya akan mengupas kembali isu kematangan ini dari sudut ESQ dan kematangan mengikut agama islam. Wallahu a’lam

Safwan | MGCGroup.blogspot.com
KUDQI
2009

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di mgcgroup.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mgcgroup.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin MGCGROUP.BLOGSPOT.COM terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment