Terbaring saya selepas menunaikan tuntutan kerohanian pada dingin pagi.
Dalam merasai setiap helaan nafas yang dihembus, fikiran melayang dibuai setiap palit-palit dosa yang pernah menjadi teman.
Jiwa meronta sambil bermonolog, “ alangkah baiknya sekiranya aku dilahirkan semula, atau alangkah baiknya sekiranya aku diberikan peluang kedua untuk mendapatkan cinta Allah tanpa ada seberang palitan yang merosakan hati saya”
Tetapi saya sedar, semua itu tidak akan berlaku, semua itu tidak akan kembali. Semua itu tidak seperti yang saya inginkan. Namun diri ini tetap bersyukur kerana diri ini adalah seperti sekarang.
Sekiranya tiada saya dahulu, bermakna mungkin tiada juga saya seperti sekarang. Ujian dan dosa saya yang terungkap didalam kenangan, menjadi sebuah perjalanan yang panjang untuk saya berubah, dan terus berubah. Menjadikan saya lebih tabah dan lebih mengenali hakikat penciptaan.
Syukur yang tidak terhingga kerana Allah telah ketemukan saya dengan jalan ini. Allah telah mengembalikan saya kepada-Nya. Setidak-tidaknya, palitan-palitan ini mampu diubati.
Saya sedar, bukan semua palitan-palitan dosa ini boleh diubati. Namun harus saya mencari jalan untuk mencapai keredhaanNya.
Helaan nafas saya teruskan sehingga tidak says sedar, telah mencurahkan air mata yang amat sukar untuk saya curahkan.
Hati mula meratapi, adakah tangisan ini dek kerana diri sendiri atau ianya timbul diatas kasihNya. Tangisan banyak terhalang kerana palitan luka yang tidak diubati.
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kemaafan daripada MU diatas segala dosa yang dilakukan, sungguhpun ku mengerti setiap yang ku lakukan banyak merosakkan hati dan jiwaku. Ampunilah segala dosa-dosa diri ini.
Ketika bermesyuarat agung, tiba-tiba sekeping sms menjengah. Nombornya masih baru, tidak saya kenali. Namu, diakhir pesanan ringkas itu, terselit nama yang cukup saya kenali semasa program baru-baru ini.
Smsnya biasa-biasa sahaja, tetapi apa yang membuatkan fikiran saya kembali dengan program yang telah saya ikuti 2 hari sebelum itu. Mungkin agak terlewat untuk menukirkan kenangan di sini, namu diri agak kepenatan dek kerana banyak perkara perlu diselesaikan selepas program.
Apa tidaknya, ada yang kena bermandi lumpur, ada yang berikrar suara rokers, ada yang terpaksa jadi mumia, ada pula yang kena jadi labah-labah.
Tapi begitulah hakikat program. setiap program ada objektifnya yang tersendiri. Objektif menjadi matlamat kepada kami dalam pembentukan adik-adik. Matlamat yang akan memastikan halatuju kita. Jadi, kami bersama memimpin tangan adik-adik dalam menempuh matlamat tersebut.
Segalanya telah tersedia, jalannya telah kami tunjukan, hanya yang tinggal adalah untuk mereka lalui. Semoga program yang dilalui ini menjadi pemangkin untuk adik-adik memulakan langkah.
Semoga berjumpa lagi, salam ukhuwwah fillah buat Kem Pengkaderan Remaja Islam ( Lepasan SPM ) Semoga ilmu yang diberikan dimanfaatkan.
Akhir-akhir ini saya sering terlayang dibawa fantasi sebuah masa depan yang mungkin ya atau mungkin tidak saya lalui. Tetapi Fantasi tersebut sangat menakutkan saya. Di mana diri saya yang lebih sukakan cabaran, tekanan dan sebagainya. Kerana itu semua lebih mencabar kemampuan diri saya.
Namun, pada masa akan datang saya bimbang tiba masa suatu ketika saya mungkin akan dibawa arus kehidupan. Apa yang dibayangkan adalah sebuah kehidupan yang terlalu biasa, waktu pagi pergi kerja, pulang dari kerja bersama anak-anak dan isteri.
Kehidupan selama 24 jam, 7 hari seminggu. Cuba dibayangkan, kehidupan sebegini berlanjutan selama 10 tahun atau mungkin sampai mati!
Tiada apa yang dilakukan, mungkin bagi yang biasa dan menginginkan kehidupan sebegini, bagi mereka terlalu biasa dan tiada apa-apa.
Tetapi bagi diri saya, ianya seperti pisau yang menikam jiwa yang amat menyakitkan. Walaupun tika ini, terlalu banyak keputusan yang saya lakukan telah mencabar diri saya, namun begitu masih timbul keadaan saya terlalu mengikut suasana, sehinggakan suasana telah banyak mengubah saya. Tidak ada masalah sekiranya mengubah kepada positif, tetapi yang merisaukan kepada negatif!
Namun begitu, apa yang saya doakan, perkara ini tidak berlanjutan, agar ianya tidak menghimpit diri saya. Muslim yang baik adalah hari ini lebih baik daripada semalam. Setiap hari kita perlu mencipta suasana baru agar kita tidak mengikut arus yang dicipta oleh orang lain.
Al-Fatihah buat Allahyarhamah Puan Nailah, Pegawai kewangan Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 9.45 malam semalam. Beliau merupakan Staf dan ibunda kepada kami semasa hayat beliau. Beliau sering memberi nasihat yang menjadi penyuluh kepada saya khususnya dan kepada sahabat-sahabat yang lain.
Beliau telah menderita sakit barah kira-kira 3 bulan yang lepas yang mana penyakitnya telah merebak kepada tulang belakang yang menyebabkan beliau lumpuh separuh badan. Pada 2 Februari 2010 beliau telah tidak sedarkan diri sehingga ke akhir hayat beliau.
Ketika saya melayari web popular iluvislam.com, sempat saya menjengah tajuk perbincangan yang mungkin menarik kita semua. Susahnya nak cari muslimat kuat agama.
Tajuknya mungkin seperti sebuah rungutan. Mungkin bagi yang memulakan tajuk ini, memandang pada dunia sekarang barangkali. Rungutan yang mungkin timbul tatkala beliau melihat keadaan wanita sekarang. Rungutan sedemikian mungkin bukan sekadar muslimin sahaja, juga muslimat yang mengungkapkan ungkapan seperti diatas.
Rungutan tersebut mungkin tepat. Jika dilihat keadaan sekarang, mungkin sangat sukar untuk mencari muslimat-muslimat atau muslimin-muslimin yang seperti itu. Yang kuat agamanya, yang beriman, yang ikhlas dijalan Allah dan pelbagai lagi krateria yang memenuhi kehendak islam yang sebenar.
Namun, pada hakikatnya mereka-mereka ini masih wujud dan sedang berada disekeliling kita sekarang. Mungkin kita tidak sedari kerana ukuran baik dari pandangan iman dan islam hanya Allah sahaja yang mampu menentukan. Mungkin pada kaca mata kita, ukuran tersebut hanya pada zahir berdasarkan kesucian dan ketulusan hati kerana hati yang bersih membentuk peribadi yang mulia.
Susahnya untuk mencari
Sememangnya tidak diakui terlalu sukar untuk mencari seorang yang dikatakan ikhlas dijalan Allah. Sehinggakan respon yang telah diberikan berdasarkan tajuk diatas amat tidak senang di dengar. Ada yang mengatakan, walau bertudung labuh dan berkopiah tetapi akhlaknya ketika mana bertudung labuh dan berkopiah sahaja. Bermakna, iman dan ikhlas mereka hanya pada pemakaian sahaja. Ini mungkin pandangan kita kepada mereka ini.
Untuk mencari yang kuat agamanya tidak sesukar yang disangka. Masih ada tips dan caranya. What you give you get back. Selalu kita dengari lagu yang dinyanyikan oleh scorpion sekitar tahun 1995. Apa yang kita berikan, kita akan dapatnya semula. Bagaimana perkara ini boleh dikaitkan dengan mencari muslimat?
Jawapanya mudah, kita mahukan yang beriman kita yang perlu beriman terlebih dahulu. Pernahkah dengar ungkapan jika inginkan siti Fatimah kita perlu menjadi saidina Ali. Jika dilihat keperibadian siti Fatimah sangat mulia dan sangat agung sebagai ana kesayangan Rasulullah s.a.w. dan amat sesuai apabila dipadankan dengan insan agung Saidina Ali r.a.
Kita pula bagaimana? Jodoh yang datang adalah yang sesuai dengan diri kita. Sesuai dengan keserasian diri kita. Keserasian itu bukanlah melalui ukuran kita, tetapi melalui ukuran yang diukur sendiri oleh Allah. Kita sering mengukur, muslimat ni bagus sangat, solat tidak tinggal, solat sunat dibuatnya, selalu mengaji quran dan sebagainya. Setelah di ukur keserasian kita dan dia, hampir sama tetapi masih tidak dijodohkan dengan dia. Kenapakah ini semua berlaku?
Di sinilah timbul jawapannya, ukuran keserasian adalah milik Allah. Jodoh dan pertemuan adalah milik Allah. Semua ini adalah ketentuan. Seharusnya kita redha. Sekiranya yang diinginkan adalah baik, beriman dan sebagainya, tetapi yang datang tidak seperti itu. Redha dan bentuklah dia menjadi baik dan beriman. Sekiranya di anugerahkan seperti yang di inginkan, bersyukur dan bersedialah, kerana langit tidak selalu cerah.
Oleh itu, jawapan pada sebuah pencarian isteri yang solehah kayu ukurnya ada pada diri kita. Apa yang penting kita laksanakan tanggung jawab pada Allah dan dengan izin Allah semuanya akan dituruti sesuai dengan diri kita.
Jam 2.30 petang semalam 26 Januari 2010 saya telah di ajak oleh seorang sahabat untuk ke rumah Pegawai kewangan Kami Puan Nailah yang sedang gering.
Beliau telah di dikejarkan ke hospital kira-kira 2 bulan yang lepas. Dan pada 3 miggu yang lepas, beliau sekali lagi dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian bagi mendapatkan rawatan di hospital tersebut. Beliau Menghidapi penyakit barah yang telah merebak ke tulang belakang beliau.
Saya selaku wakil bagi pihak Mahasiswa KUDQI merakamkan sekalung doa buat beliau, semoga beliau diberikan kekuatan dalam menempuh dugaan ini dan diberikan kesihatan yang baik dan bertambah baik.
Alhamdulillahi rabbi a'alamin... selawat dan salam keatas Rasul Junjungan Nabi Muhammad S.A.W. khatimul anbiyak..
Saya sekarang sedang menempuh minggu-minggu sukar, minggu-minggu peperiksaan. Tiga minggu yang sedang saya lalui ini banyak mengajar erti sebenar sebuah dugaan. Dugaan yang tidak pernah dilalui. Yang
Di dalam tiga minggu ini juga saya telah diberikan amanat untuk menjawat jawatan sebagai Pemangku Lajnah Tarbiah MPM bagi mengantikan Pengerusi Lajnah Tarbiah MPM yang sedang gering, setelah diberikan amanat ini, sedar tidak sedar saya telah meletakkan sebelah daripada kaki saya ke Lembah syurga dan sebelah daripadanya telah diletakkan ke dalam lubang neraka. Masakan tidak, diri ini perlu mentarbiah mahasiswa lain. Bukan kerja biasa, tetapi kerja yang sangat mencabar.
Di dalam tiga minggu ini juga, 7 Assigment telah diberikan serentak untuk disiapkan sebelum daripada peperiksaan. Assigment dari semua subjek.
Walaupun telah banyak jawatan yang telah saya pikul, tetapi jawatan sebagai pemangku ini telah memberikan impak yang besar dan sukar untuk diterjemahkan.
Dugaan demi dugaan, cabaran demi cabaran telah saya lalui. Namun saya sedar, sekiranya cabaran ini dapat saya tempuh bermakna dihadapan saya ada cabaran yang lebih besar sedang menanti.
Tekanannya makin dirasakan, apatah lagi minggu ini ujian dunia pula menanti. Peperiksaan akhir semester satu. Tekanannya menjadikan saya makin merindui rumah. Kesibukan yang dihadapi, menjadikan saya jarang pulang ke rumah. Jika dulu, hampir tiap-tiap hari saya pulang, tetapi sekarang banyak masa telah saya habiskan di kolej.
Rindu untuk pulang bukan di atas sebab lain, hanyalah di dalam keadaan jiwa yang sukar di kawal dan terasa kosong, ibu menjadi tempat untuk berbicara.Walau yang dibicarakan bukanlah untuk menyelesaikan masalah tetapi sekadar mengisi kekosongan sebaagai pengubat hati.
Semoga cabaran ini dapat saya tempuh, dan maafkan diri blog sentiasa ditinggalkan bersawang. Semoga imtihan ini mendapat keredhaan daripada Allah.