Thursday, August 12, 2010

Resah yang tiada gelisah


Hari yang berlalu seperti biasa, tidak ada apa yang merisaukan, tidak ada apa yang meletihkan minda, juga tiada menjemukan hati. Sekadar hari-hari biasa. Namun, yang dirasakan adalah resah. Resah yang tiada gelisah. Serba tak kena. Kerja dan taklifan terlalu banyak namun hendak disentuh bagaikan tiada daya.

Blog adalah titik tolak untuk saya mengeluarkan segala idea yang tersimpan. Namun sesekali saya coretkan luahan perasaan yang terpendam kepada teman yang tidak punya suara ini.

Resah...

Resah yang dirasakan ini tidak selalu dirasakan, tidak juga panjang. Namun kehadirannya menjadikan diri terperuk kesunyian. Kesunyian yang tidak bisa diterjemah dengan kata-kata. Sekadar ungkapan yang tidak terlafaz.

Sesekali terlintas di benak fikiran, ia bukannya teguran yang berwahyu sebagaimana quran. Di berikan dengan perasaan agar diri yang sering melupakan-Nya, kembali kepada-Nya. Diberikan dalam bentuk lintasan yang terpendam. Lintasan yang cukup menengelamkan jiwa yang leka dengan keduniaan.

Tetapi tarbiah yang dianugerahkan dalam bentuk yang maknawi ini sukar untuk ditafsir dengan nafsu di dalam diri. Ianya memerlukan hati tulus dan suci. Ditafsirkan dengan ruh yang dekat dengan penciptanya.

Kekuatan dengan kebergantungan padanya

Resah ini hanya terubat pada kebergantungan pada-Nya. Kebergantungan kepada pencipta sekelian alam.
kebergantungan pada Allah s.w.t.

" Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini." (Al-A'raf : 172)

Makhluk yang diciptakan Allah, zuriat yang datang daripada Allah. Ruh yang wujud kerana Allah. tidak akan lari daripada kesunyian merindukan penciptanya. Walau jasad yang tidak merasainya kerana dosa yang pekat kelam, hanya roh yang merasai panggilan secara terus daripada Allah.

Panggilan secara terus ini adalah amaran Allah kepada kita untuk sentiasa mengingatinya.

Tetapi kita sering lupa. Lupa kerana kita insan. Sesuai dengan an-nisyan yakni pelupa.

Kesunyian yang sering disalah tafsirkan

kesunyian yang melanda sehingga meresahkan jiwa. Ada yang menterjemahkannya kepada kesunyian akibat tidak berteman. Tidak berpunya. Tidak berkasih. kesilapan yang tiada penghujung. Akibatnya, makhluk yang kita cari. Makhluk menjadi sandaran kita.

Pada dasarnya ruh yang merindukan penciptanya, tetapi nafsu yang menjadi temannya.

Kekuatan yang tiada penghujung

Jika mahukan kekuatan, kita perlukan sumber kekuatan. Jika kita mahukan ketenangan kita memerlukan sumber ketenangan. Jika kita kesunyian kita memerlukan pengisi kekosongan. Carilah kekuatan dan ketengangan yang tiada penghujung itu daripada Tuhan pencipta sekelian alam.

Kerana pada-Nya punyai kunci kepada segala permasalahan kehidupan

Bila dosa terbiasa pada diri, kebaikan bagai terasing dari hati, bila dunia memenuhi jiwa,matilah khusyuk pada-NYa





Saturday, August 7, 2010

Resah sebuah pendakian


Pendakian kali ini agak menjemukan saya kerana ini adalah pendakian kali yang ketiga Gunung Tebu. Namun, panorama yang memukau tidak menjemu dan mematahkan semangat saya tambahan minda yang sarat dengan tugasan memerlukan saya membebaskan minda terhadap tugasan tersebut untuk sementara waktu. Seperti sedia kala, saya di taklifkan untuk membawa para mahasiswa daripada UniSZA untuk menawan gunung tersebut.


Namun di sini, saya tidak berminat untuk menceritakan pengalaman secara realiti tentang perihal Gunung Tebu tetapi untuk kesekian kali saya terbawa di dalam minda bertapa sukar dalam keresahan sebuah pendakian
.


Pendakian kami dimulakan dengan doa, daripada titian gantung menyelusuri tebing tinggi Sungai Lata Belatan. Daripada pendakian yang mudah, sehingga ke pendakian yang sedikit sukar. Daripada pendakian yang sedikit sukar, kepada pendakian yang sukar.

Sungai yang teralir perlahan dan deras disusuri melalui batu-batu sungai yang hanyut lama dahulu.

Untuk pertama kali saya tersungkur pada batu tersebut, masakan sebelum ini tidak pernah saya mengalaminya. Namun pada kali ini saya menelan kepahitannya. Sekurang-kurangnya kenangan ini terpahat pada sanubari.

Lutut dan telapak tangan yang membengkak akibat tesungkur sebelumnya tidak mematahkan semangat untuk meneruskan pendakian.

Pendakian diteruskan dengan kesakitan.

Rajau yang berduri

Kehidupan adalah sebuah pendakian. Semua orang mengetahuinya. Tidak siapa menafikannya. Ada yang mengatakan kehidupan adalah perjalanan. Di antara perjalanan dan pendakian, pendakian yang lebih teruji.

Perjalanan hanya menpunyai liku-liku yang sukar dan memeningkan. Kadang kala ada duri-duri yang terhampar yang menyakitkan kaki yang menapak. Sesekali ada simpang yang perlu dipilih bagi menjadi piilihan dalam sebuah perjalanan yang panjang.

Begitu juga pendakian, setiap yang dilalui hampir sama seperti perjalanan. Tidakkah pendakian juga sebuah perjalanan? Tetapi bagaimana perjalanan merupakan sebuah pendakian? Liku-likunya ada, onak duri juga ada terhampar tidak terkecuali simpang yang perlu dipilih juga ada. Namun, pendakian amat memenatkan minda, meletihkan perasaan, meruntuhkan jiwa yang tidak kental. Kerana pendakian adalah PENDAKIAN.

Pendakian menjadikan kita lebih mengenali erti sebuah kehidupan. Sekecil-kecil perkara merupakan sebesar-sebesar perkara di dalam sebuah pendakian. Jika dahulunya kita melihat kayu hanyalah sebatang kayu tidak berharga, tetapi didalam pendakian ianya adalah kayu yang menongkat kita!

Ranjau diteruskan

Selama pendakian, ada yang dapat meneruskan sehingga ke akhirnya, ada yang kecundang di tengah-tengah pendakian. Yang kecundang mereka mempunyai pilihan untuk meneruskan pendakian dimasa akan datang atau terus berputus asa.

Yang memilih untuk meneruskan pendakian pada masa akan datang, mereka yang beruntung. Walaupun pendakian yang seterusnya mereka menanguhkannya di masa akan datang bagi menyediakan mental dan emosi yang secukupnya. Mereka amat bertuah.
Tapi amat malang bagi yang terus berputus asa. Berputus asa dengan pendakian. Berputus asa dengan kehidupan. Tidak hairanlah ada yang menamatkan riwayat sebagai jalan akhir. Kerana kehidupan mereka telah mati!

Meraka yang meneruskan pendakian walau menerima keresahan, kelelahan, kekalahan dan juga keruntuhan jiwa demi melihat kejayaan yang tidak pernah dilihat mereka yang berputus asa. Sesekali mereka berhenti di perhentian bagi mengumpul tenaga dan semangat untuk meneruskan pendakian yang seterusnya. Mereka tidak mengalah, tidak sesekali mengalah! Tetapi mereka mengumpul kekuatan dan mengatur strategi untuk kejayaan yang akan datang.

Ritma kehidupan

Setelah berhenti diperhentian, meneruskan perjalanan dengan semangat yang baru mereka telah mendapat sinergi bagi meneruskan perjalanan yang panjang. Sehingga mereka mula melihat titik-titik kejayaan di dalam pendakian.

Titik kejayaan ditelusuri dengan penuh harapan. Harapan demi harapan. Tika ini tiada lagi yang kecewa dengan pendakian. Kecewa dengan kehidupan kerana pengharapan tersergam di hadapan mereka.

Sehinggalah meraka Berjaya tiba di puncak kejayaan di dalam sebuah pendakian. Kepenatan telah hilang bagai di permulaan. Mereka tidak lagi menoleh ke belakang. Apa yang dilihat hanyalah sebuah kejayaan.

Kejayaan yang tidak dilihat oleh meraka yang berputus asa dan mereka yang menangguhkannya.

Panorama sebuah kejayaan sangat berbeza. Berbeza dengan kesempitan sebuah kekalahan.

Inilah ritma kehidupan yang diterjemah didalam sebuah pendakian.


Kami tiba di puncak kira-kira jam 4.45 petang. 7 jam 15 minit di dalam pendakian.
Bagaimana pula dengan 7 minggu, atau mungkin 7 bulan atau mungkin juga 7 tahun pendakian kehidupan!?


Tahniah Kepada semua peserta xpdc pendakian gunung tebu Kelab Remaja Islam Malaysia kerana telah berjaya menawan Puncak tertinggi di Terengganu!

Saya akhirkan nukilan saya dengan sepotong pesanan ringkas seppu handai saya,


“ Sujud dalam rindu, belahan jiwa diteroka, haruman kasturi cinta, bauan dari luka jiwa, darah dosa hitam pekat mengalir, dibasuh air jernih, perahan dari keinsafan.. Tadahan tangan cinta, meminta pada yang esa, remuk hati, luka jiwa, munnajat kasih meraba cinta… Lidah batin mengadu nasib, dalam lemah menahan pedih, mencari hikmah, memohon hidayah, mengharap kurnia menghapus resah, Oh diri, takkan mahu ku mengalah pada satu keresahan.. “